Projek rintis kampung Penajeh sebagai pusat pelancongan Tibb Nabawi

PENAJEH, NEGERI SEMBILAN – Telah berlangsung program Kampung Penajeh sebagai kampung warisan dan pelancongan Tibb Nabawi yang dianjurkan di bawah DATO’ GEMPA MAHARAJA, DATO’ LEMBAGA SUKU BATU HAMPAR MINANGKABAU BAROH dan DATO’ TIANG BALAI BAROH LUAK REMBAU pada hari sabtu 19 Februari 2022 baharu-baharu ini dengan disaksikan sendiri oleh Yang Berhormat Datuk Mastura Binti Tan Sri Dato’ Mohd Yazid, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) sebagai tetamu terhormat.

Tetamu jemputan yang turut hadir ialah Tan Sri Mohd Khairul Adib Hj Abd Rahman iaitu mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato Seri Muez Abd Aziz iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato Ir Dr Md Nasir Md Noh sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran, Pengarah JPS Negeri Sembilan dan Pengarah Muzium Negeri Sembilan.

Matlamat utama program tersebut yang membabitkan penduduk-penduduk kampung di sini sebagai permulaan untuk menjadikan kampung Penajeh sebagai kampung warisan dan memperkenalkan pelancongan Tibb Nabawi sebagai satu tarikan pelancong.

Satu pembentangan telah di buat oleh Setiausaha Agung GPMM, Dr Nor Azian Hj Ab Rahman bertajuk pelancongan Tibb Nabawi yang antaranya menggariskan beberapa perkara penting untuk dilihat di sini :

  1. Mewujudkan Taman Botani Tibb Nabawi bagi penanaman pokok yang berkaitan dengan perubatan bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung Penajeh dan menjadi pembekal bahan mentah kepada pengamal pengubatan komplementari yang berasaskan bahan alami.
  2. Membangunkan potensi pelancongan kampung Penajeh dengan menggunakan pendekatan pencegahan penyakit dalam tibb nabawi melalui aktiviti latihan ruhani dan riadah seperti membina denai sungai di Sungai Penajeh yang kini dinamakan Sungai Rembau di mana sungai ini adalah laluan utama Raja Melewar untuk mendarat di Kampung Penajeh. Sungai ini juga mempunyai sejarah tempat kapal dagang Belanda berlabuh bagi mengambil hasil bumi Kampung Penajeh seperti bijih timah.
  3. Pakej pelancongan termasuk penawaran perkhidmatan rawatan menggunakan kaedah Tibb Nabawi.
  4. Kerjasama penduduk tempatan dan agensi pelancongan dalam pembangunan sektor pelancongan bagi menarik pelancong dalam dan luar negara.

Delegasi dari GPMM diwakili oleh Ustaz Dato Rajab Akmal, Datin Seri Zainah, Ustaz Ibnoe Hajar, Ustaz Mohd Zul Amirul, Puan Azwaniey Ahamad, Dr Muammar, Dr Wan Nasyrudin Bin Wan Abdullah dan Ustaz Azlan Azman. – Admin

Penajeh: Di sini bermulanya sebuah kerajaan berdaulat

Mukadimah:

“Tanah Kerjan Tanah Penajeh, Tanah Mengandung Seri Menanti, Beraja ke Johor, Bertali ke Siak, Bertuan ke Pagar Ruyong”.

Akhir abad 11- Kedatangan orang Sumatera ke Semenanjung apabila Temasik dibuka oleh Sri Tri Buana (Marsden.1811(1966:333, walter 1970;32).

Abad 12 Orang Melayu Jinak mendiami Rembau (Newbold 1834:255).

Rembau atau nama lamanya Prabu dibuka oleh Tok Batin Pak Tinggam di Relung (Norhalim Ibrahim 1991:91).

Orang Melayu Jinak ini tinggal dalam perkampungan kecil dan berselerak di sepanjang tebing Sungai Penajeh dan Sungai Merbok )Cole 1945:114).

1459 Zaman kegemilangan Melaka, Rembau masuk dalam pentadbiran Melaka dan berpusat di Kundur.(Buku Yang Dipertuan Muda Rembau Bil:12).

1490 an Datuk Leteh pembesar adat dari Siak menetap di perkampungan orang asli di Kampung Relong. Batin Sekudai tinggal di sini. (Norhalim: Lintasan Sejarah Kerajaan Melayu Rembau (LSKMR):5)

1497 Datuk Bungkal binti Batin Sekudai lahir di Relung (Norhalim, LSKMR:5)

1500 Datuk Leteh dan anak angkatnya Datuk Bungkal pindah ke Kg Lada (LSKMR:5)

1501 Batin Sekudai pindah ke Siliau & Datuk Leteh dilantik pentadbir Rembau.

1502 Batin Pak Nilu ipar Batin Sekudai membuka hutan Gombira (Kota). Hasilnya wujud dua buah kampung iaitu Kampung Gombira tempat tinggal Batin Pak Nilu & Kampung Paya Merbau berhampiran pokok merbau.

Batin Cepa ayah batin Pak Nilu & Bapa mertua Batin Sekudai turun dari Rasah membantu menebang pokok merbau. Beliau tinggal di Kampung Paya Merbau.

Pokok merbau berjaya ditebang. Pokok merbau sangat tinggi sehingga pucuknya tumbang sampai ke hujung sungai. Lalu tempat itu dinamakan Sungei Ujong (Tok Halus waris Sungei Ujong:2005). Batang pokok merbau dijadikan tempat jemuran dan dinamakan Batang Nyamor atau nyomo (Dato Samsura: 2005)

Batin Cepa meninggal dunia dan dikebumikan di Kampung Gombira. (LSKMR:5).

1502 Nama Prabu ditukar kepada nama Merbau Tua. Kemudiannya bertukar ke Rembau.

1504 Datuk Leteh dan anaknya Datuk Bungkal berhijrah ke Kampung Gombira.

Datuk Bungkal menukar kampung Gombira ke Kampung Kota (Kota Lama).

1511 Melaka jatuh ke tangan Portugis

1515 Datuk Lela Balang dan pengikutnya datang ke Kampung Kota.

Datuk Laut Dalam membuka Kampung Padang Lekuk.

Datuk Lela Balang berkahwin dengan Datuk Bungkal.
(LSKMR:6)

1519 Kedatangan 4 orang pembesar adat dan membuka perkampungan di Rembau Darat. Datuk Budi di Kg Batu Hampar, Datuk Laut di Kampung Sungai Layang, Datuk Baginda di Bintungan dan Datuk Putih di Kg Lubuk Rusa, Selemak.
(LSKMR:6)

Sementara itu Penghijrahan menggunakan kapal Jong atau rombongan di Raja sebanyak 3 kali iaitu rombongan Raja Kasah, rombongan Raja Ibrahim & rombongan Raja Melewar.

Datuk Najeh pembuka Kampung Penajeh adalah salah seorang daripada rombongan dari Pagar Ruyong.

1540 Dato Lela Maharaja Sri Rama dilantik sebagai Penghulu atau Undang Rembau yang pertama.

1586 Rembau membantu Johor menyerang Portugis di Melaka.

Rembau diserang Portugis di bawah pimpinan d’Azambuja. (LSKMR:6)

1613 Peta d’Eredia menunjukkan Rembau (Rambo) salah satu jajahan Pagar Ruyong (Regiam de Monabacus).(LSKMR-Peta 3).

1622 Raja Bujang telah membuka penempatan di Penajuh, Sepri.

1646 (Mac) Belanda menanda tangani perjanjian persahabatan dengan Rembau dan Negerinya Nan Sembilan. Perjanjian ini merupakan dokumen pertama menggunakan istilah Negeri Sembilan. (LSKMR:9)

Kerajaan Berdaulat:

Peminangan Seri Banun, anak Undang Rembau oleh Sultan Johor ditolak. Si Mamat anak Undang Rembau dipancung.
(Jurnal warisan Pers. Sejarah Malaysia caw N.S keluaran 7. 1982/1983:55

Undang Rembau mengadu ke Johol, kemudian ke Sungei Ujong tetapi mereka tidak berani. Kemudian mengadu ke Jelebu lalu Moyang Saleh dan 4 hulubalang mengadap ke Johor.

Sultan Johor bertitah: Beta pulangkan Negeri Sebelah Darat, Undang Yang Empat, Orang Kayalah mengatur adat di Darat.. Jurnal Warisan, 7:56)

Perbilangan Adat “Jelebu mengatur, Rembau mengukuhkan”.

Aturan Adat Negeri Sembilan berlaku pada 17 Syawal 1192H. (Jurnal warisan bil.7:57).

Sempadan Negeri Sembilan dibuat. Batin Mahagalang memahat batu di Muar. Itulah lahirnya Batu Pahat.(Jurnal Warisan bil.7:53)

Sempadan Negeri Sembilan awal dari Muar ke Klang. Dari Hulu Langat (Jalan Reko) hingga ke Hulu Pahang (Kanaboi).

Rombongan menjemput Anak Raja di Pagar Ruyong. 7 panglima dihantar.

Anak Raya Pagar Ruyong diuji tidur atas batu kasur dan daun jelatang. Semua gagal kecuali Tengku Mahmud.

Raja Alam Pagar Ruyong asalnya 3 beradik. Yang Sulong bergelar Paduko Ramo, Yang Tengah bergelar Raja Melawar dan yang bongsu bergelar Raja Bujang. (Paduka Ramo Wisran:2022)

Jadi Tengku Mahmud ibni almarhum Yang Dipertuan Raja Alam Sultan Abdul Jalil dikirim ke Rembau. Diiringi 59 hulubalang dari Pagar Ruyong dan 44 hulubalang dari Siak. Semua berjumlah 99 orang. Di sini asalnya istana 99 tiang.

1721/1722 Raja Melewar ditabalkan di Kampung Penajeh sebagai YAMTUAN PERTAMA NEGERI SEMBILAN (LSKMR)(berhampiran kantin lama sekolah rendah Keb Penajeh) Dato Gempa:2022)

Raja Melewar menjemput adindanya Yamtuan Adil ke Rembau.

Yamtuan Adil dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda Rembau yang pertama

Terlantiknya Yang Dipertuan Muda Pertama, Dato Shahbandar hilang kuasa mengutip cukai.

Istana atau Kota Raja didirikan di atas Bukit Penajeh (belakang Masjid Penajeh).

Istana Raja Melewar didirikan di Bukit Serajin berhampiran sungai di belakang gelanggang gasing di Astana Raja.(Dato Gempa:2022).

Sebuah dermaga atau pelabuhan dibina berhampiran jambatan untuk kapal besar berlabuh dan membuah pusingan u-turn. (Resende:1638).

Pelabuhan ini tempat mengumpul hasil hutan, garam & timah.

1832 Rembau dipaksa tandatangan perjanjian yang tidak sah di Simpang oleh British.

1832 Rembau menerima pelantikan Syed Saaban sebagai Yamtuan Muda Rembau ke-3 atas desakan Raja Ali Haji.(LSKMR:13)

1833 Syed Shaaban cuba membunuh Dato Ngonit tapi gagal. Rumah Dato Ngonit dibakar. (LSKMR:13).

1878-1880 Perang Rembau Tampin meletus.

1889 Rembau diturunkan taraf kepada subdaerah di bawah pentadbiran daerah Tampin oleh British. (LSKMR:14).

1948 Undang Ipap menandatangani penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

Rumusan:

Di sinilah lahirnya Kerajaan Berdaulat. Tempat Bersejarah menyaksikan Raja Negeri Sembilan Pertama hingga Yang Ketiga dinobatkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Yamtuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Tanah Bertuah, Tanah Berdaulah dan didokong oleh Bangsa Yang Bermaruah lagi degil dengan ancaman penjajah )Prof Norhalim 1995:176) serta mendukung Nilai-Nilai Islam dalam seni Adat Perpatih yang sangat unik, Adat bersendikan Syarak, Syarak bersendikan Kitabullah. Maka tidak hairanlah Rembau dikenali sebagai “gentlemen brave” oleh penjajah British. Rembau sentiasa membayangi Kerajaan Melaka. Jatuh bangunnya Kota Melaka adalah terletak di bahu Kerajaan Rembau suatu masa dahulu. Tanpa Rembau Siapalah Melaka, kerana itulah terbit pepatah “ Tanah Kerjan Tanah Penajeh, Tanah Mengandung Seri Menanti, Beraja ke Johor (Melaka), Bertali ke Siak dan Bertuan ke Pagar Ruyong.

Susunan:
Haji Mohd Razali B. Zakaria.