Kuda laut sebagai penawar? Apa hukumnya Ustaz?
Kuda laut (seahorse), البحر فرس atau unduk-unduk ialah sejenis ikan laut dalam genus Hippocampus dalam keluarga Syngnathidae order Syngnathiformes. Kuda laut adalah perenang yang lebih perlahan daripada arus laut dan perlu menggunakan ekornya untuk menahan pada rumpai laut sebelum dihanyutkan. Sebanyak 46 spesies dari keluarga haiwan ini yang dikenalpasti dengan penambahan spesies Hippocampus nalu yang terbaharu setakat Mei 2020.
Unduk-unduk merupakan turunan akar proto-Melayu-Polinesia yang juga digunakan untuk suatu spesies ikan berkepala tirus seperti haiwan ini iaitu Doryichthys boaja.
Spesies kuda laut ini wujud dari sekecil 0.5 sm hingga sebesar 35.5 sentimeter. Kepala dan muncungnya panjang, berleher menyerupai kuda begitu juga dengan ekor badan. Kepalanya berjambul seakan bermahkota dan setiap spesies mempunyai bentuk jambul tersendiri. Sepasang biji matanya dapat bergerak sendiri seakan mata sesumpah. Ekornya menggulung sepanjang masa kecuali dalam keadaan tertentu. Haiwan ini dianggap sama jenis dengan ikan cuma tidak bersisik sebaliknya berkulit nipis diregangkan meruas pada rerangka berbuku gelang keras yang melindungi daripada bahaman pemangsa. Setiap spesies mempunyai bilangan buku gelang badan yang tersendiri. Kuda laut berenang dengan badan yang menegak sambil menggerakkan sirip belakang manakala sirip sisi (atau pektoral) kepalanya digunakan untuk mengemudi. Pergerakan ia sangat perlahan maka ia sering memaut pada objek pegun menggunakan ekornya. Ia mampu menyamar dengan baik, bahkan juga mampu tumbuhkan bonjol sendiri pada badan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. Kuda laut menggunakan muncung panjang untuk menyedut makanan sekelilingnya.
Dalam proses pembiakan, telur-telur yang disenyawakan oleh pasangan betina dimasukkan dalam kantung perut jantan bertisu lembut membekalkan bekalan oksigen dan peredaran haba eraman secukup serta membantu penyahtinjaan. Jantan pasangannya pula akan menghasilkan hormon prolaktin yang penting untuk tumbesaran telur-telur. Kebuntingan jantan ini mengambil masa 2 hingga 4 minggu sebelum melahirkan. Anak-anak ikan ini menetas dalam kantung yang dikawal tahap kemasinannya agar dapat dibiasakan kepada air laut secara beransur-ansur.
Kuda laut dipercayai oleh masyarakat nelayan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia sebagai haiwan akuatik yang kuat kerana tenangnya mengharungi air yang deras serta mampu menghalau jampi atau semangat jahat. Ketulan ikan ini yang dikeringkan sering digantung depan pintu rumah untuk tujuan ini, begitu juga dengan motif ukiran pada kepala atau salir tingkap rumah Melayu mahupun pada ukiran haluan bangau pada perahu kolek. Rupa kuda laut atau unduk-unduk ini juga sering dimanifestasikan pada motif dekorasi atau corak songket dan ukiran keris.
Terdapat 54 jenis kuda laut diseluruh perairan dunia dan 9 jenis kuda laut yang sering ditemukan secara luas di berbagai wilayah di nusantara. Kuda laut mempunyai keunikan tersendiri sebagai ikan hias, baik sebagai barang antik, perhiasan, souvenir dan juga untuk bahan ubat-ubatan dalam bentuk serbuk dan kapsul. Di China, ia disebut sebagai “Gingseng Selatan”, digunakan sebagai tonik untuk memulihkan tubuh dari keletihan dan kelemahan fungsi ginjal dan sangat baik untuk memperbaiki kerosakan sistem saraf.
Meskipun ia sejenis ikan, namun ia yang tidak pandai berenang dan bergerak secara vertikal, tidak memiliki perut, sehingga sering dikatakan haiwan paling rakus. Keistimewaan kuda laut ia dapat melihat 360 digri seperti bunglon. Ada beberapa jenis kuda laut yang transperan dan ada juga yang dapat merubah warna kulitnya mengikut persekitaran. Yang uniknya, yang melahirkan adalah yang jantan dan satu-satunya haiwan laut yang paling setia terhadap pasangannya. Kini ia semakin pupus dan terancam kerana diburu bagi memperolehi khasiat perubatannya.
KHASIAT KUDA LAUT
Konsep penyembuhan dalam Islam berdasarkan bahan itu halalan dan tayyiba (halal dan baik). Terdapat khilaf pendapat tentang kuda laut ini samada boleh dimakan atau tidak. Sebahagian mazhab termasuk Syafi`i menghalalkan semua jenis hidupan laut kecuali yang beracun, bahkan bangkai ikan juga harus dimakan tanpa sembelih. Mazhab Hanafi pula mengharamkan antaranya sotong, ketam dan udang sedangkan Mazhab Maliki mengharuskan makan daging buaya. Bab kuda laut ini terdapat khilaf namun umumnya mengkategorikannya sebagai sejenis spesis ikan walaupun bukan berupa bentuk seperti ikan biasa. Antara dalil yang digunakan ialah seperti dalam surah al-Ma’idah:96.
“Dihalalkan bagi kalian buruan laut dan memakannya.” (al-Maidah: 96)
Dalil hadith pula berdasarkan sabda Nabi SAW,
“(Laut itu) suci airnya, halal bangkainya.” (HR. at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Abu Dawud dan yang selain mereka)
Namun untuk berhati-hati dan terkeluar dari perselisihan dalam kalangan ulamak, elok disembelih terlebih dahulu . adalah dengan disembelih dalam rangka keluar dari perselisihan di antara para ulama. Aspek lain ialah agar tidak terkeluar dari aqidah yang sahih. Ertinya tidak beri`tikad bahawa kuda laut itu sebagai penyembuh, bahkan itu adalah sarana atau ikhtiar yang Allah memberikannya manfaat tertentu untuk kemaslahatan manusia. Ketiga, jangan mengandungi jampi mantera yang mengandungi unsur kesyirikan atau melibatkan bantuan makhluk halus dalam proses penyembuhan. Hal ini diumpamakan seperti penggunaan garam, lada hitam, kayu kemuning, gaharu dan lain-lain dalam pengubatan termasuk oleh perawat/peruqyah muslim. Selain itu perlu diiringi dengan doa atau bacaan ayat-ayat ruqyah sesuai dengan petunjuk yang diberi oleh Nabi saw.
Berhubung penggunaan kuda laut untuk tujuan pengubatan, lazimnya dimanfaatkan pada keseluruhan badannya yang dikeringkan dan ada yang menggunakan dagingnya sahaja. Berikut adalah masalah dan penyakit yang diubati dengan menggunakan kuda laut (yang dikeringkan) dan cara penyediaan bahan.
1) Masalah gangguan makhluk halus atau dalam konteks alam Melayu dikenali dengan istilah gangguan hantu atau al-Ghul. Untuk mengelak dari gangguan atau kacau ganggu makhluk tersebut, maka kaedah tradisional ialah mengusirnya dengan diletak atau digantung pada tempat laluan dalam rumah seperti di muka pintu. Kuda laut dipercayai antara spesis haiwan akuatik yang amat ditakuti oleh makhluk halus.
2) Mengusir syaitan dan pelesit. Pengamal perubatan yang lebih islamik akan membaca surah al-Fatihah dan 4 Qul 3 kali, ayat kursi 7 kali, lalu meniup ke telinga pesakit dan ke dalam air, kemudian diberi minum. Setelah itu dibaca lagi surah al-Isra’ ayat 46 dan ditiup 3,5,7 – 11 kali. Kemudian diguna kuda laut hitam (yang lebih aktif), kepalanya dikenakan pada ubun-ubun mangsa iaitu tempat yang mudah menjadi laluan dimasuki syaitan, hantu dan pelesit.
3) Penyakit cacing. Caranya ialah dengan merebus 1 ekor kuda laut, kemudian diberi minum air rebusannya kepada pesakit dengan diulang sebanyak 3 kali.
4) Masalah buah pinggang. Caranya ialah merebus kuda laut hitam dan memakannya selalu.
5) Sarap. Sarap ialah istilah tradisional untuk kanak-kanak kecil yang baru lahir dan tidak ingin menyusu sehingga perutnya menjadi besar, kembung, sesak nafas, menangis, merengek bahkan ada yang sampai matanya terbeliak. Untuk menanganinya ialah dengan mengambil kuda laut hitam 1 sekor, rebus dan minum air rebusannya selama 3 hari berturut-turut.
6) Penyegar seks. Ambil 1 ekor kuda laut hitam, rebus dan makan selama 3 hari berturut-turut.
7) Menambah kekuatan senggama. Sama seperti di atas iaitu merebus namun hendaklah memakan 1 ekor sekaligus.
8) Memulih urat saraf- Amalkan zikir ya syakur, diiringi dengan doa: y allahummaj al fi asabi nuran (brdsrkn hadith riwayat muslim) yang bermaksud: Ya Allah, kurniakanlah cahaya (kekuatan) dalam urat geramatku. Kemudian rebus kuda laut lalu makan 1 ekor sehari selama 3 hari berturut-turut.
9) Asma- Untuk mengatasinya sama seperti di atas iaitu merebus dan memakannya. Tidak hairan jika kuda laut adalah antara makanan eksotik masyakat cina.
PENUTUP
Kuda laut adalah sejenis spesis ikan yang dianggap antara makanan laut yang halal dimakan. Ia bukanlah tergolong dalam hidupan yang beracun dan memudaratkan. Penggunaannya dalam pengubatan berdasarkan pengalaman dan testimoni sejak lama dahulu yang diperakui memiliki nilai kesihatan dan penyembuhan yang tinggi. Namun demikian, pengalamal rawatan Islam bolehlah menganggap ia adalah antara khazanah alam yang memiliki khasiat tertentu, asalkan tidak bercampur dengan ritual dan mantera kesyirikan. Justeru itu mereka tetap disarankan mengaplikasikan ruqyah sebagai metode utama rawatan di samping penggunaan bahan alami. Aspek hukum fiqh halal haram dan petimbangan aqidah tidak boleh diabaikan sama sekali semasa proses rawatan dan penggunaan bahan termasuk kuda laut.
Dalam hal ini terdapat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Selamatkan Kuda Laut Kita (SOS) sedang mengenengahkan isu kuda laut tidak termasuk dalam senarai haiwan yang dilindungi. Mereka berpendapat tindakan tersebut akan hanya menyebabkan spesis tersebut semakin pupus, lebih-lebih lagi apabila ia digunakan untuk tujuan kesihatan. Di Semenanjung Malaysia, spesies hidupan liar yang dilindungi adalah spesies yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama dan Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan spesies yang disenaraikan di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686]. Jadual spesies ini boleh dirujuk di Senarai Spesies Di Bawah Jadual Akta 716.
Kuda laut ialah spesis yang terancam dan akan pupus jika berlaku perubahan ekosistem yang melampau di perairan maritim. Justeru itu kita perlu elakkan melakukan pencemaran atau merosakkan alam sekitar, agar dengan itu kuda laut dapat terus terpelihara dan memberi manfaat kepada manusia sdari sudut kesihatan dan perubatan.
Sekian.
-Suntingan dan susunan oleh
drAbdy@MHCS@GPMM
(Ahli No. GI-0007)

