Keperluan ilmu ruqyah dalam terapi psikospiritual
PENDAHULUAN
Amalan meruqyah dengan bacaan ayat-ayat penyembuhan (syifa’) yang dipetik dari al-Qur`an dan al-Hadith untuk tujuan penyembuhan sudah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad saw lagi. Begitu juga penyakit berkaitan masalah kerohanian atau kejiwaan bahkan penyakit mental atau gila sudahpun ditunjukkan oleh Nabi sab bagaimana merawatnya. Justeru itu pengamal perubatan walaupun dia bidang spesialisnya bukan ruqyah namun dia tetap boleh mengaplikasikan ruqyah dalam apa jua jenis rawatan termasuk dalam terapi kerohanian. Untuk itu hendaklah dia belajar yang mengetahui selok belok asas perawatan ruqyah agar amalannya itu bertepatan dengan apa yang diisyaratkan dalam syariat Islamiyah.
MEMAHAMI TERAPI PSIKOSPITUAL
Ramai pengamal perubatan Islam sendiri yang cuba mempraktikkan pendekatan psikospiritual dalam menangani kes-kes berkaitan sedangkan mereka tidak mempelajari ilmu tersebut secara formal atau tidak memiliki pengetahuan yang mencukupi untuk berbuat demikian. Justeru itu ilmu ruqyah dan ilmu tentang psikospiritual kedua-duanya sangat penting. Meskipun seseorang itu mengambil ilmu psikospiritual dari Barat (sebagai contoh), namun dia masih boleh mengamalkan ilmu tersebut setelah disesuaikan dengan syariat Islamiyah. Dalam perubatan Islam, ilmu tersebut dikenali sebagai ilmu Ruhiyyah atau ilmu Nafsiyyah (Lihat Ibn Qayyim al-Jawziyyah). Apabila kedua-duanya dijalinkan maka akan lahir dan terbentuklah apa yang dinamakan sebagai Terapi Psikospiritual Islam.Dengan kata lain, terapi psikospiritual Islam termasuk dalam salah satu disiplin pengubatan Islam.
MEMAHAMI ASPEK PSIKOSPIRITUAL ISLAM
Saya tidak bercadang untuk menghurai secara panjang lebar tentang aspek dan cabang ilmu yang berkaitannya. Pengamal perubatan Islam tidak perlu menguasai secara mendalam tentangnya tetapi cukuplah mengenal dan memahami asas dan prinsip ilmu-ilmu berkaitan. Antara subjek yang perlu difahami ialah kaunseling, psikologi, psikiatri dan spiritual termasuk pendekatan yang sering digunakan. Begitu juga pengamal perlu memahami perbezaan antara psiko-religus dan psiko-tauhid serta beberapa istilah lain. Selain itu juga berupaya mengenalpasti persamaan dan perbezaan antara ilmu psikospiritual Barat dan ilmu psikospiritual Islam serta prinsip-prinsip asas kedua-duanya. Seorang kaunselor misalnya menguasai ilmu yang dipelajarinya dalam bidang kaunseling namun dia bukanlah seorang ahli psikologi. Ahli psikologi pula terdiri dari beberapa jenis disiplin atau kepakaran seperti ahli psikologi pendidikan, ahli psikologi organisasi dan ahli psikologi sukan. Kaunselor dan ahli psikologi bukanlah doktor perubatan kecuali ahli psikologi klinikal.
Doktor perubatan boleh meningkatkan kepakaran dalam bidang psikologi sehingga dia boleh menjadi pakar atau ahli psikologi klinikal dan layak menyediakan preskripsi ubatan kepada pesakit. Begitu juga doktor perubatan yang membuat pengkhususan dalam bidang psikiatri sehingga melayakkan dia menjadi seorang pakar psikiatri. Ahli psikologi klinikal dan pakar psikiatri kedua-duanya adalah doktor perubatan namun terdapat beberapa perbezaan fungsi dan peranan dalam menangani pesakit.
Dalam bidang psikospiritual Islam, kepelbagaian kepakaran boleh diserapkan termasuk pengalaman penasihat atau perunding keluarga yang bertauliah atau mana-mana individu yang terlibat secara aktif dalam rawatan kerohanian. Ertinya psikospiritual merupakan ilmu yang menghubung-jalinkan kepelbagaian kepakaran yang diiktiraf.
KEPENTINGAN ILMU RUQYAH
Ahli-ahli terapi psikospiritual Islam menggunakan pelbagai pendekatan dalam menangani pesakit mengikut latar belakang kepakaran masing-masing asalkan tidak terkeluar dari landasan Islamiyyah. Justeru itu, kini terdapat kecenderungan besar untuk mengaplikasikan bacaan doa, ruqyah, zikir dan sebagainya sebagai instrumen tambahan untuk mempercepatkan kesembuhan dan pesakit tidak hanya bergantung pada ubatan sepanjang hayat. Hal ini diakui sendiri oleh ramai doktor perubatan muslim. Menerapkan penggunaan ruqyah adalah suatu pendekatan yang terbaik dan efektif di samping meneruskan kaedah rawatan modern.
Sepertimana yang diketahui, penyakit manusia terbahagi kepada dua iaitu penyakit jasmani (amrad al-Abdan) dan penyakit rohani (Amrad al-Qulub). Terdapat juga kes-kes di mana pesakit setelah didiagnos didapati berhadapan dengan kedua-dua kategori penyakit tersebut. Islam adalah bersifat syumul dan konsep Tibb Nabawi juga begitu. Dalam nas al-Qur`an dan hadith-hadith Nabi saw sendiri menyebut tentang penyakit berkaitan hati, jiwa, ruh dan akal serta kaedah rawatannya. Metod utama ialah amalan ayat-ayat ruqyah merangkumi antaranya:
- Istighfar
- Tasbih
- Tahmid
- Takbir
- Zikir
- Doa selepas solat, sebelum tidur dan selepasnya.
- Doa mu`awwizat
- Ruqyah ayat-ayat syifa’
- Tilawah la-Qur`an
- Doa selepas solat taubah dan selepas solat hajat.
- Amalan tazkiyatunnafs
- Dan lain-lain
Selain amalan ruqyah, terdapat juga pengambilan bahan alami yang boleh disyorkan khususnya yang dinamakan sebagai produk makanan sunnah. Bagaimanapun semua bahan-bahan tersebut hendaklah didoakan atau diruqyahkan terlebih dahulu sebelum mengambilnya sebagai bahan rawatan. Adalah diingatkan agar semua bahan atau produk yang digunakan adalah mendapat kelulusan pihak berkuasa terlebih dahulu. Baik bacaan ruqyah mahupun bahan yang digunakan hendaklah dipastikan terlebih dahulu metode, teknik pengambilan serta ayat-ayat yang sesuai bergantung pada jenis penyakit atau masalah yang dialami. Kolaborasi kemahiran antara pengamal alopati dan pengamal alternatif seperti perawat adalah diperlukan agar masing-masing dapat berkongsi ilmu dan pendekatan yang digunakan dalam proses mendapatkan rawatan. Berkatan ruqyah, mungkin perawat bidang ruqyah bole memberi pencerahan dan berkongsi kaedah untuk dimanfaati oleh rakan-rakan pengamal bidang alopati dan begitulah sebaliknya. Islam menuntut kita berikhtiar kerana hanya Allah yang dapat menentukan bila seseorang itu akan sembuh walau sehebat mana teknologi perubatan telah digunakan.
KESIMPULAN
Ruqyah adalah medium utama dalam proses mendapat kesembuhan selain penggunaan bahan termasuk ubat-ubatan. Ruqyah adalah doa dan doa hendaklah dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana Dialah satu-satunya yang memiliki kuasa penyembuhan. Terapi Psikospiritual pula merupakan salah salah disiplin rawatan yang dianjurkan oleh Nabi saw. Justeru itu penerapan amalan ruqyah dalam menangani masalah psikospiritual adalah wajar diterima. Meskipun masih ramai pengamal perubatan alopati keberatan menerimanya, namun usaha perlu diteruskan agar suatu hari nanti ianya menjadi kenyataan. Saya menyeru para pengamal ruqyah yang berminat, agar turut mendaftar menjadi ahli Persatuan Terapi Psikospiritual Islam Malaysia (PTPM). Mungkin sumbangan anda kelihatan kecil, namun insyaAllah besar ganjarannya jika usaha kita membawa kebaikan kepada manusia lain dan diredai oleh Allah swt. Sekian, Wallahu A`lam.
Penulis: Dr Abdullah Yusof (Ahli GPMM No: GI-0007)
Merangkap Bendahari Kehormat Persatuan Terapi Psikospiritual Islam Malaysia (PTPM)

