Menyingkap tabir alam ghaib

PENDAHULUAN

Tajuk yang saya ingin sentuh pada kali ini berkaitan alam ghaib. Mungkin ada yang bertanya, perlukah membicarakan sesuatu di luar alam nyata. Manusia bukanlah spesis yang dicipta untuk hidup di alam metafizik dan begitu jugalah makhluk-makhluk di sanauntuk berada di alam nyata manusia. Kadang-kadang makhluk dari alam ghaib menceroboh dan memasuki alam manusia dan ini tidaklah asing. Begitu juga terdapat manusia yang diberitakan pernah berkunjung ke alam sana, bahkan menetap, berkahwin, berkeluarga serta mengerjakan kebun di sana. Banyak risikonya jika manusia mencampuri urusan di alam yang bukan fitrahnya berada di situ.

Al-Quran surah al-A`raf ayat 27 (maksudnya): Sesungguhnya dia (iblis dansyaitan) dan suku sakatnya bolehmelihat kamu (dari suatu tempat) sedangkan kamu tidak boleh melihat mereka…dst. Begitu juga firmannya dalam surah al- An`am ayat 59 (maksudnya) ..pada sisi Allah semua perkara ghaib, tidak ada yg mngetahuinya kecuali dia sendiri. Lalu bagaimana hal begini (melihat dan mengetahui hal ghaib) boleh terjadi dan tidakkah ia bercanggah dengan nas-nas al-Quran?. Itu belum termasuk berita-berita penampakan makhluk ghaib oleh kanak-kanak kecil (indigo), budak besar sehinggalah orang dewasa. Macamana hal ini boleh berlaku?.

Tujuan kertas ini ialah untuk menyingkap hal-hal ghaib yang di luar pemikiran dan logik akal, khususnya yang berlegar dalam dunia perawatan Islam. Diharap penjelasan ini akan berupaya mengelak sebarang tanggapan negatif terhadap perawat muslim keseluruhannya kecualilah yang memang terjebak dalam amalan yang meragukan. Banyak kes misteri yang berlaku seperti MH370, kes Acap dan lain-lainnya masih belum terjawab dan usaha pencarian menemui jalan buntu. Tragedi kapal selam Nanggala-402 milik TNI masih belum terungkap sepenuhnya walaupun telah dijumpai serpihan bangkai kapal selam yang terbelah tiga itu. Apakah ada sesuatu yang misteri di sebaliknya. Saya tidak bertujuan menyentuh kes-kes yang berprofil tinggi tersebut atas beberapa sebab dan tidak ingin mengganggu usaha penyiasatan yang belum selesai. Namun saya yakin makhluk di luar sana yang berada di mana-mana penjuru alam baik di daratan, di dalam bumi, di dalam lautan dan di udara mempunyai sistem rangkaian komunikasi  yang cekap sesama ahli mereka di seluruh pelusuk belahan dunia tentu mengetahui beberapa info mengenainya.

ALAM GHAIB, MAKHLUK GHAIB DAN BERITA GHAIB

Alam terbahagi kepada beberapa kategori iaitu alam nyata (alam fizik), alam ghaib (alam metafizik), alam barzakh (alam kubur) dan alam akhirat. Selain dari alam nyata, semuanya bersifat ghaib. Ghaib itu dari sudut terhalang dari pandangan mata kasar manusia dan tidak di sisi makhluk ghaib itu sendiri.

Makhluk ghaib pula dapat melihat manusia dan manusia tidak mampu melihat mereka adalah jelas berdasarkan nas al-Quran yang disebutkan di atas tadi. Namun demikian, terdapat makhluk ghaib yang tidak boleh melihat spesis makhluk ghaib lain. Misalnya malaikat boleh melihat semua jenis jin sedangkan jin tidak boleh melihat malaikat kecuali yang diizinkan oleh Allah sahaja. Begitu juga qarin boleh melihat jin dan qarin lain, namun jin tidak mampu melihat qarin. Lalu, apa yang dilihat manusia ialah ketika jin tidak lagi berupa ghaib  yang mungkin ketika itu berada dalam beberapa situasi termasuk kerana pengaruh sihir, jin bertasyaakkul, bertamaththul dan lain-lain. Mungkin juga ketika itu manusia diberi indera keenam, intuisi, kasysyaf, maunah, karamah dan sebagainya yang memungkinkan manusia melihat mereka.

Jika manusia bermimpi berjumpa atau berkelahi dengan jin, adakah sosok yang dilihat dalam mimpi itu adalah rupa hakikinya atau rupa jelmaan?.   Bagaimana pula halnya dengan perawat yang menghalang (hijab) pandangan jin dari melihat dirinya. Begitu juga perawat yang berupaya membuka tabir sehingga kelihatan banyak jin di sekitarnya. Adakah perawat itu sendiri adalah tukang sihir atau mengamalkan ilmu hitam atau mengambil khadam (pendamping) atau dibantu oleh jin nasab (saka keturunan)?. Mungkin ya dan mungkin tidak.

Perlu difahami bahawa berita atau perkara ghaib yang telah, sedang atau akan berlaku hanya Allah yang mengetahuinya kecuali apa yang diperlihatkan sahaja. Kehidupan di alam barzakh, azab kubur, situasi di syurga dan neraka semuanya adalah hal ghaib yang manusia tidak mengetahuinya kecuali apa yang diberitakan menerusi al-Quran dan al-Hadith. Begitu juga hal-hal yang belum dan bakal terjadi dalam kehidupan manusia ini seperti jodoh, rezeki dan ajal maut adalah di dalam pengetahuan Allah dan semuanya adalah ghaib.

GHAIB DARI PANDANGAN.

Penerangan ringkas tadi adalah jelas bahawa manusia tidak boleh melihat jin namun jika jin berada dalam situasi penampakan, maka dia boleh dilihat oleh manusia kerana ketika itu dia adalah makhluk bersifat kasar berdasarkan berapa lama dia berkeadaan begitu. Dalam dunia perawatan Islam, adalah tidak asing jika seseorang perawat itu dapat mengesan kehadiran jin bahkah melihatnya samada menerusi intuisi atau bantuan indera keenam atau anugerah Allah kepadanya. Biasanya ini berlaku setelah melakukan beberapa amalan tertentu yang syar`ie agar ikhtiar rawatan dipermudahkan.Hal ini sudah tentu tidak mustahil di sisi Allah jika dikehendaiNya. Namun perawat sering diingatkan agar tidak menceritakan kepada sembarangan orang kerana hal sedemikian boleh mengundang fitnah dalam masyarakat.  Selain itu ada perawat yang berpengalaman dan berkemahiran mampu mengesan keberadaan entiti ghaib yang bersifat mistik yang berada di sekitarnya ketika mengunjungi lokasi atau tempat perhimpunan jin.

BAGAIMANA HIJAB TERBUKA

Allah saw ketika menegaskan bahawa manusia (pada kebiasaannya) tidak mampu melihat jin tentu ada hikmahnya. Bayangkan dengan bentuk fizikal, karekter, sifat dan penampilannya  yang cukup buruk, menakutkan dan mengerikan sudah tentu tidak memberi keselesaan kepada manusia memandangnya atau berkomunikasi dengannya. Ulamak ada menyebut bahawa seseorang boleh jadi gila atau hilang akal jika terlalu kerap melihat jin atau bertembung dengan mana-mana spesis jin. Sebaliknya fitrah manusia pula sukakan yang indah, elok dan menyenangkan serta mendamaikan.

Banyak tuduhan dan fitnah berlaku termasuk dalam kalangan perawat sendiri jika tidak berhati-hati. Misalnya jika seseorng pesakit didiagnos oleh perawat sebagai mangsa sihir, maka perawat tadi tidak sepatutnya menceritakan secara pasti dan yakin bahawa dia terkena sihir. Berdasarkan tanda dan simtom yang wujud, maka ikhtiarkan sahaja merawat pesakit berdasarkan petunjuk yang diperolehi kerana sihir adalah berkaitan perkara ghaib.

Banyak kes sihir dan gangguan yang disertai kehadiran pelbagai jenisjin penyihir ketika sesi rawatan dilakukan. Meskipun perawat umumnya tidak nampak, namun berdasarkan beberapa petunjuk tertentu perawat cuba berikhtiar menerusi antaranya kaedah ittiham atau istilham untuk mencari poin sebenar keberadaan jin dan ada ketikanya penampakan boleh terjadi. Justeru itu, ia mempermudahkan perawat mengendalikan rawatan dengan menyentuh, memicit dan menekan bahkan disertai pukulan kecil ke bahagian tertentu tubuh pesakit gangguan, dan bukannya meneroka ke segenap inci tubuh pesakit. Pemilihan ayat-ayat ruqyah yang sesuai juga penting agar sesi rawatan memberi kesan yang lebih efektif, mudah, berkesan dan tidak memenatkan.

METOD DAN TEKNIK

Antara amalan lain dilakukan untuk mengaburi mata atau pandangan musuh termasuk jin ialah menggunakan debu tanah atau pasir yang digenggam dengan membaca ayat-ayat tertentu dan selepas itu ditabur atau dicampak ke arah musuh termasuk jin yang datang menyerang. Jika berada di dalam bangunan bolehlah menggunakan garam kasar. Bacaan yang dugunakan lazimnya ialah Yasin ayat 9 (rujuk teks dan guru anda untuk mengetahui teknik yang tepat). Pahlawan Melayu dan ahli seni beladiri dahulu sering mengamalkannya dan sebaik sahaja keris atau badik dicabut dari sarungnya, maka musuh yang sedang berhadapan dengannya tidak nampak dia lagi. Itu adalah petua dan amalan dan tidak disertai dengan ritual syirik.

Kaedah kedua ialah penggunaan teras pokok larak salah. Begitu juga jika diambil sarang kerengga yang dibuat di atas pokok lalang. Tempurung jantan buta juga menjadi salah satu amalan warisan Pahlawan Mat Kilau dan lain-lain. Justeru itu pahlawan dahulu senang mnghilangkan diri dari pandangan musuh.Namun kenalah berhati-hati dengan penggunaan tangkal, azimat serta wafaq  jika ada. Dalam konteks rawatan Islam, musuh iaitu jin tidak boleh menghilangkan diri bahkan berubah menjadi wujud nyata yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Dalam kitab perubatan Arab-Islam,disenaraikan berbelas cara boleh dilakukan iaitu mengamalkan ayat-ayat yang dinamakan sebagai ayat pembuka kunci alam ghaib. Ini merupakan hasil tajribah orang-orang terdahulu tanpa melibatkan sebarang upacara berunsur syirik atau bantuan jin.Saya tidak bercadang untuk menghurai panjang hal ini kerana boleh menimbulkan polemik. Baik membaca ruqyah sahaja mahupun disertai penggunaan bahan, terpulanglah kepada kita bagaimana memohon petunjuk atau pertolonganAllah apabila menghadapi apa-apa kesulitan semasa rawatan dijalankan. Mungkin Allah tidak mengabulkan permohonan kita seperti yang kita hajatkan, sebaliknya menganugerahi sesuatu yang amat kita perlukan tanpa disedari.

RUMUSAN

Makhluk ghaib adalah sifatnya terlindung dari pandangan mata kasar. Ketika dia tidak berada dalam situasi ghaib maka ketika itu manusia boleh melihatnya. Banyak dalil yang menunjukkan makhluk ghaib seperti jin dan syaitan boleh menyerupai apa sahaja bentuk dan rupa yang dihajatinya jika Allah mengizinkannya. Untuk lebih memahami, penampakan atau perjelmaan jin boleh dilihat oleh manusia sebab itu bukanlah rupanya yang hakiki. Apa yang saya sentuh dalam topik ini adalah hasil perkongsian sesama perawat dan pengalaman yang sering dialami oleh sebahagian ahli masyarakat. Kita hidup dalam realiti yang tidak nampak makhluk ghaib, maka janganlah berusaha untuk nampak tanpa sebab yang sangat perlu. Penampakan yang kerap oleh orang awam terutama kanak-kanak indigo menandakan dia termasuk dalam golongan yang diganggu dan perlu mendapat rawatan segera. Begitu juga sekiranya terdapat perawat yang selalu menceritakan kepada para pesakitnya yang dia berkemampuan melihat jin, maka mungkin dia termasuk dalam golongan yang telah ditalbiskan oleh iblis atau mendapat istidraj termasuk menilik dan meramal. Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Nanti buruk padahnya.  Wallahu A`lam.

TERIMA KASIH.Dr Abdullah
(EXCO/Ahli GPPP No: GI-0007)