Dilema merawat pada bulan Ramadan

Merawat pada bulan puasa sebenarnya tiada banyak bezanya berbanding bulan-bulan lain. Bagi rawatan Islam khususnya kes-kes berkaitan ganguan jin dan sihir, ramai menganggap syaitan semua dikunci, diikat, dirantai atau dibelenggu namun kenapa masih terdapat ganggauan dan jin masih bebas bermaharalela. Ada yang mengatakan hanya jin jenis syaitan diikat pada bulan ramadan.

Ada yang berkongsi pandangan bahawa walaupun bulan puasa namun mereka tetap boleh mengganggu manusia biarpun kudrat mereka berkurang. Mereka bahkan terus memasukkan jarum gangguan atau bisikan ke dalam minda pesakit sehingga pesakit akan tetap merasa diganggu dan jin tetap boleh bersemayam dalam badan pesakit. Kesannya pesakit akan tetap merasa kesakitan sehingga manusia pun boleh terus melakukan kemaksiatan selain mengabaikan tuntutan agama sepertimana lazim mereka lakukan di luar bulan ramadan.

Ini berdasarkan sebuah hadith yang bermaksud: “Jika tiba bulan Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu semua syaitan (HR. Bukhari dan Muslim).”

Secara realiti walaupun jin dan syaitan terbelenggu, namun gangguan ke atas pesakit terus berlaku dan bertindak agresif. Adakah hadith tersebut bercanggah dengan situasi sebenar?. Antara ulasan yang dikemukakan dan berdasarkan info tertentu; syaitan yang bebas atau jin liar akan dibelenggu yakni dikawal oleh para malaikat agar mereka tidak bergerak bebas ke sana sini mengganggu manusia, namun syaitan yang bertempat tinggal dan menetap, baik di rumah, premis kilang, sekolah, dalam jasad manusia, atas pokok dan sebagainya terkurung dan terkepung tidak boleh merayau sesuka hati. Mereka ibarat berada dalam perintah PKP dan dikuarantinkan, namun masih boleh bergerak dalam ruang yang terhad.

Keupayaan jin mengganggu manusia bergantung antaranya pada tahap kekuatan rohani seseorang dan amalan-amalan lazim yang dilakukan pada bulan ramadan seperti berpuasa, berterawih, bertadarus dan lain-lain. Kekuatan rohani dapat melemahkan jin syaitan dari terus mengganggu.

Selain itu, isu yang berlaku ialah berkaitan hukum berpuasa bagi pesakit-pesakit yang diruqyahkan dan termuntah. Adakah ini akan membatalkan puasanya. Ada dua situasi yang sering terjadi iaitu pertama, pesakit muntah kerana tidak dapat menahan atau mengawal diri kerana kesakitan lalu termuntah. Jika ini berlaku maka tidak membatalkan puasanya dan tidak wajib qada puasanya.

Dalam hadith menyebut (maksudnya):

Barangsiapa yang terpaksa muntah, maka hendaklah dia menyempurnakan/melanjutkan puasanya dan tidak ada qada baginya. Dan barangsiapa yang muntah secara sengaja, maka hendaklah dia mengqada puasanya (HR. Al-Daaruqutni).

Kedua, orang yang muntah kerana disengajakan lantaran pesakit itu memaksakan dirinya agar termuntah sedangkan dia masih boleh berusaha menahan muntah. Jika ini terjadi maka dia wajib mengganti puasanya (qada) di luar bulan Ramadan.

Isu penting terjadi bagi para peruqyah yang menjalankan rawatan ruqyah pada siang hari ke atas pesakit gangguan. Ia berkaitan hukum apabila muntah. hilang akal, tidak sedarkan diri atau tertidur sewaktu sesi rawatan ruqyah dijalankan. Berikut catatan ringkas yang boleh dijadikn renungan bersama. Antaranya ialah:

  1. Pesakit muntah dengan melakukan sesuatu seperti disengajakan maka batal puasanya. Ada pendapat yang mengatakan baik sengaja mahupun tidak , puasa tetap terbatal. Jika muntah berlaku berkaitan tujuan perubatan seperti melakukan swab test yang menyebabkan pesakit muntah maka tidak batal kerana ada tujuan perubatan.
  2. Pesakit mental kronik atau gila atau hilang akal tidak diwajibkan berpuasa dan jika berpuasa maka tidak sah puasanya.
  3. Jika dia nampak normal dan semasa rawatan dia menjadi kerasukan dan hilang akal maka terbatal puasanya jika dia berpuasa, walaupun serangan gila atau hilang akal itu sekejap.
  4. Jika setelah dirawat, pesakit tertidur atau ditidurkan atau pengsan atau pitam atau koma dan kemudiannya tersedar dalam tempoh waktu berpuasa maka tidak batal puasanya. Namun jika dia berkeadaan sedemikian sepanjang waktu berpuasa maka tidak sah puasanya baik disengajakan mahupun tidak.

Peringatan kepada para peruqyah:

  1. Hendaklah dipastikan dahulu pesakit itu berpuasa atau tidak sebelum sesi rawatan dimulakan.
  2. Peruqyah perlu cermat dan berhati-hati memilih ayat-ayat ruqyah yang hendak dibaca kerana memungkinkan ada efek tertentu sehingga pesakit muntah atau kerasukan sampai hilang akal. Ini dibimbangi muntah atau hilang akal itu disengajakan atau diusahakan oleh peruqyah atau pesakit sendiri berusaha agar muntah. Adalah perkara biasa perawat berusaha agar pesakit muntah dengan meruqyah disertai memicit atau menekan poin-poin tertentu pada tubuh pesakit sedangkan ada alternatif lain tanpa memuntahkn pesakit atau menyebabkan dia hilang akal.
  3. Jika ternampak pesakit macam hendak muntah atau hilang akal, maka disarankan agar perawat melanjutkan ruqyah dengan ayat-ayat penahan muntah (cth. Al-Lahab ayat 1). Begitu juga jika nampak tanda-tanda hendak merasuk maka ruqyahkan sahaja dengan ayat-ayat untuk menidurkan pesakit. Namun masa ditidurkan jangan sampai dari mula waktu berpuasa hingga masuk waktu berbuka masih belum sedar kerana jika sedemikian puasanya terbatal. Justeru itu perlu diusahakan agar pesakit terjaga sebelum waktu berbuka. Ayat untuk menidurkan pesakit tidak disertakan agar tidak disalahertikan.
  4. Selain itu kadang-kadang terjadi ke atas pesakit rohani mahupun pesakit gangguan yang mengaku dia bukan Islam. Maka itu dianggap pengakuan di luar alam kesedaran maka tentu sahaja tidak termasuk orang yang keluar atau berniat keluar dari Islam. Jika dia memang pesakit mental kronik atau gila maka dia tidak termasuk dalam golongan yang diwajibkn berpuasa dan jika dia berpuasa maka tidak sah puasanya. Meskipun ada khilaf dalam bab ini, namun lebih baik kita mengelak dari yang berbentuk khilaf, sebaliknya mengambil pandangan juhmur atau pandangan popular dalam kalangan ulamak fiqh.

Kesimpulannya, rawatan ruqyah masih boleh dilakukan seperti biasa pada waktu siang bulan ramadan. Namun demikian beberapa aspek harus diperhatikan agar kesempurnaan amalan berpuasa tetap terjaga khususnya bagi pesakit gangguan, pesakit rohani atau kes mistik lainnya. Sarankan juga agar pesakit terus mengimarahkan bulan ramadan dengan amalan kerohanian untuk mendapatkan kesembuhan daripada Allah SWT.

Sekian. Terika kasih.

Dr. Abdullah Yusof
(EXCO / Ahli GPMM No: GI-0007)