Awasi mantera, tangkal dan azimat
Umat Islam dilarang menggunakan jampi mantera, tama’im dan tiwalah (tangkal dan azimat) kerana benda-benda ini boleh membawa kepada syirik. Kita dilarang mempercayai bahawa azimat boleh membawa kebaikan atau manfaat. Jangan lupa bahawa kita juga dilarang mempercayai azimat boleh mendatangkan keburukan atau kecelakaan.
Kita sedar ramai peruqyah yang amat takut kepada azimat sehingga mengaitkan azimat punca segala-galanya, kesurupan, kerasukan dan kesakitan apapun dikatakan semuanya berpunca dari azimat. Azimat digunakan sebagai medium oleh para dukun, kahin, bomoh, pawang dan lain-lain setelah melalui upacara mengisi media-media tadi menerusi mentera dan dihadirkan jin-jin penjaga, khadam dzn sebagainya. Awas! mempercayai tangkal azimat dan wafaq boleh mendatangkn kecelakaan atau berkuasa membawa keburukan juga akan membawa kesyirikan. Tanpa izin Allah SWT semuanya tidak terjadi.
Justeru itu yang penting ialah membatalkannya dari kesan hasil pengisian, Barang tidak bersalah, keris tidak bersalah, batu akik, batu delima, cincin, geliga tidak bersalah, yang salah perbuatan asosiasi antara tukang sihir dan para jin menerusi amalan yang bertentangan dengan syarak. Nak bakar dan musnahkan semua barang azimat tidak apa-apa, itu sekadar menghilangkan medium zahir sahaja. Dalam banyak kes, sebelum dibakar dan dimusnah, jin-jin sudah melepaskan diri, kembali kepada tuannya dengan penuh dendam dan kemarahan. Namun ada peruqyah menyangka semuanya sudah beres, selesai. Kalau dicampak ke sungai, jin tidak akan lemas, kembali semula ke rumah tuannya, dibakar jin tidak mati sebab jin memang diciptakan dari unsur api, api sifatnya panas. Hal-hal inilah yang perlu diluruskan agar peruqyah tidak mendakwa macam-macam hal yang bersifat ghaib, seolah-olah dia tahu semuanya sudah beres, jin sudah mati, hancur dan tidak boleh kembali lagi menyerang pesakit.
Apa yang penting ialah mengubati, merawat, meruqyah, membaca ayat-ayat pembatal sihir, membuang jin khadam, jangan mendakwa itu ini seperti dia tahu segala-gala perkara ghaib. Keris, pedang dan barang-barang yang boleh disimpan kembali selepas dibatalkan, kenapa hendak dimusnahkan, itu membazir namanya, kecuali barang seperti keris yang dari asal pembuatannya melalui proses mantera, untuk tujuan kebal harus dimusnahkan, begitu juga tanah kubur, abu mayat, darah haid, tulang babi dan sebagainya yang dijadikan azimat dan diisi dalam botol, dibungkus dengan kertas timah lslu dibaluti kain hitan, putih atau kuning elok ditanam saja, jangan dihanyutkan ke sungai.
Rasulullah SAW bersabda : Tiada seorang hamba pun yang berkata setiap pagi dan petangnya: (terjemahan ayat) “Dengan nama Allah yang tiada siapa mampu memudaratkan dengan namaNya samada di dunia mahupun di langit, dan Dialah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”, sebanyak 3 kali, kecuali tiada apa yang mampu memudaratkannya. (Sahih Muslim, no 2731)
Dr Abdullah Yusof
EXCO Latihan dan pembangunan
GPMM