Kerajaan serius tangani permasalahan pengubatan Islam

PUTRAJAYA – Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr. Adham Baba telah menerima kunjungan delegasi Gabungan Perawat Muslim Malaysia di bilik mesyuarat utama, Kompleks E, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 22 September yang lalu.

Pertemuan hampir 2 jam tersebut berlangsung sarat dengan perbincangan tentang beberapa isu berkaitan dengan Perubatan Islam.

Delegasi Gabungan Perawat Muslim Malaysia diketuai oleh Dato Dr Ahmad Sabirin Arshad, Setiausaha GPMM bersama Dr Nor Azian, Dr Hussaini dan Ustaz Mohd Zul Amirul hadir mewakili GPMM dan membentangkan beberapa isu seperti isu penggunaan air zam-zam sebagai air penawar, klinik integrasi, akta berkaitan perubatan Islam dan sihir serta penggunaan herba melayu.

Turut serta dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengarah-Pengarah Bahagian dalam Kementerian Kesihatan seperti IMR, Bahagian Hospital Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari dan MMC kerana perjumpaan ini adalah bukan sekadar pertemuan empat mata, namun ia adalah pertemuan bagi membincangkan isu-isu yang dapat membantu memartabatkan perubatan Islam demi kepentingan ummah.

Antara misi GPMM hasil dari resolusi pertemuan ini ialah mewujudkan model silibus Pengajian Perubatan Islam di Kolej atau Universiti, menjalankan kajian-kajian akademik dan makmal, menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya dengan pihak Kementerian Kesihatan, JAKIM dan JAIN, menggabungkan perawat-perawat muslim dari pelbagai latar belakang, dan lain-lain lagi.

Pihak GPMM berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Menteri Kesihatan dan Kerajaan Malaysia kerana sudi menerima kunjungan delegasi GPMM ini.