Jangan meletakkan masa depan anda pada janji orang lain
Semalam saya berjumpa dengan seorang wanita berusia 40 tahun yang mengalami masalah ‘schizophrenia’ dan juga dirasakan mempunyai masalah gangguan makhluk halus.
Saya tak berminat untuk membincangkan tentang gangguan makhluk halus tapi saya ingin kongsikan apa punca dirinya mengalami masalah schizophenia yang menyebabkan dia selalu mendengar bisikan ‘sinis’ memandang rendah dan hina dirinya sendiri.
Punca utamanya ialah kerana dia berputus asa pada dirinya sendiri. Punca dia putus asa pada diri sendiri kerana dahulu dia telah menyandarkan masa depannya pada orang lain. Kawannya datang menjanjikan ‘langit dan bintang’ padanya sekiranya ikut kawannya itu buat bisnes. Dan dia sepenuhnya menyandarkan dirinya itu pada kawannya dengan harapan janji kawannya itu benar-benar tertunai. Akhirnya dia tewas dengan sandarannya itu dan mula menyalahkan takdir melalui pilihannya itu sendiri.
Ya setiap berlaku itu adalah takdir sama ada takdir yang baik atau buruk. Dalam kitab hadis 40 Nabi SAW menyatakan bahawa iman itu antaranya ialah beriman kepada takdir baik dan buruk.
Dalam kes wanita ini, apabila hal buruk (rasa tertipu dengan janji kawannya) tertimpa dirinya akibat dari dia juga yang menyandarkan masa depannya itu pada janji orang lain dia sering mengucapkan “kalaulah aku dahulu begini begitu”, “kalaulah aku tak ikut dia” , kalaulah macam-macam lagi”. Hal inilah memberikan kesan buruk pada dirinya.
Sebab itu Rasulullah SAW menyatakan dalam sabda Baginda SAW ;
“Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan “kalaulah aku melakukan itu dan ini”. Akan tetapi katakanlah “takdir Allah, dan apa yang dikehendakinya pasti akan terjadi.” (HR Imam Muslim).
Usahlah kita menyadarkan masa depan kita pada janji manusia lain.
Dan jangan juga kita berjanji tentang masa depan manusia lain melalui kita.
Cukuplah kita hanya menyandarkan masa depan kita pada Allah SWT dengan melalui perjalanan hidup ini berpandukan Sunnatullah dan Syariatullah.
Firman Allah ;
“Dan siapa yang bertawakkal pada Allah dengan menyerah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukup baginya”. (Al-Talaq: 3)
Jangan musnahkan kehidupan kita sendiri dengan janji tidak pasti manusia lain.
Seorang wanita tidak usahlah menyandarkan masa depannya pada janji seorang lelaki yang ingin menjadi suaminya. Namun, sandarkanlah masa depan itu pada Allah SWT dengan pilihan dibuat berdasarkan sunnatullah dan syariatullah.
Nak kaya, nak berjaya, nak jadi jutawan atau apa sekalipun tak usahlah sandarkan kejayaan kita pada janji orang lain. Namun, sandarkanlah impian dan cita-cita kita itu berpandukan sunnatullah dan syariatullah.
Kelak kita tidak akan kecewa dan kecundang dengan janji manusia lain terhadap masa depan kita.
Akan tetapi apabila kita menyadarkan masa depan kita pada Allah SWT pasti kelak kita mendapat kebahagiaan dan kejayaan melalui rahmat dan kasih sayang dari Allah SWT.
“Dan mereka merancang, Allah juga merancang, dan Allah sebaik-baik perancang”. (Ali-Imran :54)
Penulis : Mohd Zul Amirul Izwan bin Mat Deraseh
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)