Modus operandi jin memasuki tubuh manusia

MUQADDIMAH

Ramai yang masih tertanya-tanya kerana terkeliru bagaimana jin itu dikatakan boleh memasuki tubuh badan manusia. Apakah ini hanya mitos, khayalan atau memang ianya hakikat. Terdapat juga dari kalangan orang yang berilmu beranggapan jin dan syaitan hanya berupaya mengganggu manusia menerusi bisikan di telinga sahaja seperti menimbulkan was-was (Surah al-Nas). Sebenarnya terdapat 10 dalil dari ayat al-Qur’an dan 7 dalil lagi dari al-Hadith Nabi saw yang menerangkan hal ini. Ini tidak termasuk pandangan para ulamak menerusi kitab-kitab mereka berhubung hal ini. Berdasarkan dalil-dalil tersebut (saya tidak dapat menyenaraikan kesemuanya di sini) , maka tiada keraguan sedikitpun bahawa makhluk jahat seperti jin, syaitan, iblis dan sebagainya berupaya melakukan gangguan. Jin memasuki jasad manusia dengan pelbagai cara termasuk menjadikan seseorang itu hilang akal (gila atau al-Junun) dan mencetulkan pembunuhan (al-Qatl) ke atas seseorang.

Persoalan timbul bagaimana caranya jin-jin tersebut memasuki jasad manusia dan bagaimana pula laluan keluarnya. Hadith-hadith dan penegasan ulama’ sendiri menunjukkan terdapat beberapa laluan utama jin memasuki tubuh badan manusia. Sekurang-kurang terdapat empat (4) saluran yang biasanya menjadi laluan utama dan kesemuanya adalah bersifat berongga. Dari situ diqiaskan bahawa hampir semua rongga tubuh badan manusia berpotensi menjadi laluan masuk jin Namun demikian, tidak semestinya jin keluar menerusi laluan yang sama. Bagaimana hal ini boleh berlaku?. Berdasarkan pengalaman ramai perawat yang sering berurusan dengan dunia jin, dan pengakuan jin sendiri, maka dapatlah dinyatakan seperti berikut;

❖ Tidak semua jin itu mahir dan berpengalaman memasuki badan manusia. Jika sempat memasuki badan manusia atau ketika itu turut-serta bersama jin lain, tidak semestinya semudah itu juga dia boleh mencari jalan keluar.

❖ Apakah pula faktor-faktor yang menyebabkan jin memasuki badan manusia. Adakah kerana faktor dalaman atau faktor luaran. Adakah akibat sihir atau gangguan jin biasa atau lain-lain.

❖ Dalam badan manusia, di lokasi mana pula jin duduk, berada atau menghuni dan kalau bergerak, bagaimana pergerakan itu berlaku.

❖ Isu jin yang bukan masuk secara tetap (permanent), bahkan mendatangi seseorang sekali sekala jika perlu, atas dakwaan memantau atau melindungi (biasanya jin saka).

❖ Kalau jin keluar, adakah berlaku secara sukarela atau dengan kehendaknya sendiri atau kerana tindakan peruqyah membaca ayat-ayat pengusir, pembakar atau pemusnah jin barulah dia keluar.

❖ Begitu juga jika ada jin yang tersesat memasuki badan manusia. Atau kerana jin tertentu sukakan atau cintakan jin lain yang berada dalam tubuh seseorang lalu memasukinya tanpa bertujuan mengganggu orang itu.

❖ Kes bermacam-macam jenis atau spesis jin dan iblis dengan pelbagai tujuan berada dalam badan manusia serentak pada satu-satu masa, bahkan ada yang berkelahi sesama mereka mungkin kerana berebut tempat tinggal atau lokasi keberadaan.

❖ Bagi jin yang membiak dalam tubuh manusia, tentu dia tiada pengalaman masuk dan keluar dari tubuh manusia.

❖ Perawat lazimnya bukan sahaja mengusir jin dari tubuh pesakit, malah ada yang menggunakan teknik membakar, membunuh, memancung, memasak (pasak), memasung (pasung) dan pelbagai teknik yang dilakukan. Bagaimana hal-hal tersebut dilakukan sedangkan semuanya meruqyah.

Hal-hal sedemikian memerlukan ruang perbincangan yang lebih terperinci.

KEBERADAAN JIN DALAM TUBUH MANUSIA

Keberadaan jin dalam tubuh manusia boleh terjadi berdasarkan hadith-hadith sahih seperti berikut:
Dari Safiyyah binti Huyay, Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya syaitan itu berjalan (berlari) dalam tubuh anak Adam sebagaimana darah mengalir dalam tubuhnya” (H.R. Muslim).

Berhubung keberadaan jin dalam tubuh manusia, Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Majmu` al-Fatawa (24/276), berkata: “Para ulama ahli sunnah wal jama’ah bersepakat, bahawa jin dapat masuk ke dalam tubuh dan badan manusia.

Ini bertepatan dengan firman Allah swt (maksudnya): Orang-orang yang makan (mengambil) riba, tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran tekanan penyakit gila. (Q.S. Al-Baqarah:275).

Abdullah bin Ahmad bin Hanbal pernah bertanya kepada bapanya, Ahmad bin Hanbal:

Sesungguhnya orang-orang berkata bahawa jin tidak boleh masuk badan orang-orang yang kerasukan Lalu Imam Ahmad bin Hanbal berkata:
“Anakku, mereka berkata bohong. Mereka hanya berkata dengan ucapannya sendiri”

Ibnu Taimiyyah juga pernah menyebut: Perkataan ini (jin dapat masuk ke dalam tubuh manusia) adalah perkataan yang masyhur.

Orang yang kemasukan jin (kesurupan) tidak akan merasakan sakit ketika dipukul, kata-katanya akan merapu. Orang yang kemasukan jin ini akan menampakkan banyak keanehan, mulai dari bicara dan gerakannya. Seolah-olah yang berkata dan bergerak itu adalah orang tersebut (orang yang kerasukan), padahal hakikatnya adalah jenis lain, bukan manusia (sebenarnya jin).

Selanjutnya, Ibn Taymiyyah dalam Majmual-Fatawa nya mengatakan: Tidak ada seorangpun ulama yang mengingkari bahawa jin dapat memasuki tubuh manusia yang lalai dari mengingat Allah. Barangsiapa yang mengingkari hal ini dan mengatakan bahawa syara’ tidak mengakui hal demikian, maka sesungguhnya dia telah mendustai syara itu sendiri. Tidak ada dalam mana-mana dalil syara` yang menolak hal itu (tidak ada dalil satu pun yang mengingakari bahawa jin dapat masuk ke tubuh manusia yang kesurupan). Mereka yang mengingkari hal ini hanyalah sekelompok kecil dari golongan Mu’tazilah termasuk Imam Al-Jubai dan Abu Bakar al-Razi.

BAGAIMANA JIN MEMASUKI TUBUH MANUSIA?

Kemasukan jin (kesurupan) adalah berbeza dengan kerasukan. Kesurupan tidak semestinya menunjukkan tanda-tanda kerasukan, namun bila terjadi kerasukan, maka sudah pasti adanya kesurupan (kemasukan) jin ke dalam diri seseorang. Antara modus operandi yang popular kemasukan jin ialah menerusi penglibatan tukang sihir yang bersekongkol dengan jin jahat menerusi penggunaan buhul atau media sihir. Allah swt berfirman (maksudnya):

“(aku berlindung) dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul (Q.S. Al-Falaq:3-4).

Ternyata antara modus operandi masuknya jin ke dalam tubuh manusia ialah melalui ritual tertentu para tukang sihir atau dukun pemuja syaitan. Mantera syaitan dibaca kemudian dihembuskan kepada manusia baik secara langsung mahupun melalui medium buhul sihir seperti patung yang diperbuat dari ikatan-ikatan kain. Serentak itu, jin akan diarahkan mengikuti hembusan itu memasuki target yang telah ditetapkan oleh tukang sihir untuk mengenai seseorang yang kemudiannya menjadi mangsa sihir.

Antara cara lain yang ampuh ialah dengan memperolehi beberapa helaian rambut atau barangan peribadi milik individu seperti pakaian dalam yang menjadi target sebelum ritual dilakukan, selain maklumat atau info tertentu individu tersebut. Jin adalah makhluk yang memiliki deria dan mengesan gelombang yang paling kuat dan dengan itu jin dapat mengetahui dengan pasti lokasi sebenar individu tersebut berada. Teknik ini juga dikenali sebagai masymum (perciuman), sebab itu kita dinasihatkan berhati-hati dengan barangan peribadi atau pakaian yang mempunyai bekas pakai khususnya yang belum dibasuh, agar tidak diambil oleh orang yang diragui niatnya. Jika anjing pengesan sebagai contoh, dapat menghidu jejak penjenayah yang bersembunyi atau melarikan diri, begitu jugalah halnya dengan kemampuan jin, malah keupayaannya jauh mengatasi makhluk-makhluk lain dalam hal ini (dengan izin Allah).

Antara laluan masuk yang sering terjadi ialah seperti disebut dalam hadith-hadith Nabi saw adalah seperti berikut:

a) JIN MASUK MELALUI MULUT
Jin boleh memasuki tubuh badan manusia melalui mulut. Justeru itu kita dinasihatkan sentiasa menutup mulut sekiranya tiada sebarang keperluan untuk membuka atau menganga.

Abu Said r.a berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang dari kalian menguap, letakkanlah tangannya pada mulutnya(tutuplah), kerana syaitan akan masuk bersama dengan orang yang menguap (yang mulutnya tidak ditutup)” (H.R. Muslim).

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap. Apabila seseorang bersin lalu mengucapkan al-hamdulillah, maka muslim yang mendengarnya harus mendoakannya. Adapun menguap datangnya dari syaitan, kerananya tahanlah sedapat mungkin. Apabila dia menguap terus keluar suara “haaa”, maka syaitan akan tertawa” (H.R. al-Bukhari).

b) JIN MASUK MELALUI KUKU
Antara laluan lain kemasukan jin ialah menerusi celahan kuku manusia, baik kuku jari tangan mahupun kuku jari kaki. Bukan saja kuku hendaklah sentiasa dipotong kemas, malah dijaga kebersihannya sepanjang waktu. Dalilnya ialah sabda Nabi saw (maksudnya):

Wahai Abu Hurairah, potonglah (perpendekkanlah) kuku-kukumu. Sesungguhnya syaitan mengikat (melalui) kuku-kuku yang panjang. (H.R. Ahmad).

c) JIN MASUK MELALUI HIDUNG
Laluan kemasukan jin seterusnya ialah melalui hidung atau lubang hidung. Ini antara hikmat kenapa ketika mengambil wuduk, antara sunatnya ialah menghirup atau menghisap air ke hidung (istinsyaq). Berhubung hal ini, dalilnya ialah seperti hadith berikut (maksudnya):

Bahawa Nabi s.a.w.. bersabda: Apabila salah seorang di antara engkau bangun tidur, hendaklah mengeluarkan air dari hidungnya (istintsar) tiga kali, kerana syaitan itu menginap di batang hidungnya. (H.R. Muslim).

d) JIN MEMASUKI TELINGA
Berikutnya ialah laluan keempat iaitu menerusi telinga. Dalilnya ialah seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah yang berkata (maksudnya):
“Disebutkan di sisi Nabi bahawa ada seorang laki-laki yang selalu tidur sampai ke pagi tanpa mengerjakan solat (malam). Lalu beliau bersabda: Syaitan telah kencing di telinganya ((H.R. Muslim).
Berdasarkan beberapa modus operandi di atas, terdapat beberapa poin rongga yang menjadi laluan masuk jin seperti mata dan kemaluan. Jin juga menjadikan bahagian kepala atau ubun-ubun sebagai poin utama laluan masuk. Berhubung laluan keluar, boleh dikatakan semua laluan masuk boleh menjadi laluan keluar jin. Selain itu terdapat kes di mana jin terpaksa keluar dalam keadaan terdesak, atau kerana tiada pengalaman sebelum ini atau kerana diarahkan oleh perawat. Maka jin boleh keluar dengan meredah mana-mana bahagian tubuh pesakit termasuk menerusi peha, tengkuk, telapak kaki, jari-jari kaki dan tangan, belakang, leher dan lain-lain. Antara tanda-tanda jin keluar menerusi laluan tersebut ialah terdapat tanda-tanda lebam atau cakaran pada kulit tubuh pesakit.

Kesulitan berlaku apabila ada jin yang ingin keluar, namun tidak berupaya kerana mungkin dia sudah lemah akibat usianya terlalu tua, atau sakit kerana dibelasah teruk oleh peruqyah dengan ayat-ayat al-Qur’an atau diugut oleh jin-jin lain yang berada di luar tubuh pesakit. Kemungkinan lain ialah kerana jin tersebut telah dipasung sebelumnya oleh perawat lain dan jika tidak dibuka ikatan dengan ruqyah ayat-ayat pembuka maka jin tersebut akan terperangkap untuk tempoh yang entah sampai bila.

Kesimpulannya, pencerahan ringkas ini dimulakan dengan dalil-dalil tentang keupayaan jin membuat gangguan ke atas manusia, kemasukan atau keberadaannya dalam tubuh manusia dengan pelbagai modus operandi serta isu-isu yang berkaitan. Semoga ianya bermanfaat buat kita semua baik para perawat mahupun masyarakat awam. Pesakit hendaklah sentiasa memohon kepada Allah swt agar tubuhnya tidak dijadikan laluan atau transit oleh mana-mana jin untuk melakukan apa-apa tujuan sekalipun. Perawat pula hendaklah sentiasa mematuhi etika perawatan, menggunakan kaedah dan teknik yang tidak menyalahi syarak dan sentiasa meletakkan keyakinan bahawa hanya Allah swt penyembuh sebenar kerana manusia Cuma berikhtiar.

Sepertimana yang diketahui, jin adalah makhluk Allah swt yang diciptakan bersama-sama manusia untuk mengabdikan diri kepadaNya, namun ramai yang engkar, tidak mentaatiNya bahkan melakukan pelbagai dosa dan kerosakan di atas muka bumi ini. Jika ada kesempatan dakwahilah dia dan ajaklah dia kepada Islam. Semoga Allah swt memberi hidayah, taufiq dan inayahnya kepada kita semua sebagai hambaNya.

SEKIAN.
Nukilan,
Dr Abdullah Yusof (abdy@GPMM)
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)
20.6.2020 jam 3.20 pm.