Teknik ruqyah pesakit mengamuk
Setiap kali menyaksikan orang mengamuk, tentu kita menjadi resah, risau, bimbang dan takut kerana orang mengamuk sangat merbahaya dan kita tidak dapat menjangkakan apa tindakan yang bakal terjadi. Orang gila yang berkeliaran misalnya, ketika mengamuk dia akan mengambil apa sahaja yang dia inginkan, Dia akan berkata-kata sesuatu yang sukar difahami, kadang-kadang mencaci-maki, mengeluh, menangis, ketawa, menyanyi dan mengejar orang ramai yang ada berhampiran. Ada yang menanggalkan pakaian dan membogelkan diri di tempat awam termasuk membuaha najis merata-rata. Paling dibimbangi dan menakutkan jika dia bertindak agresif yang boleh mencederakan dirinya dan orang lain. Dia akan mengamuk dengan kekuatan yang luar biasa bahkan terdapat banyak kes orang mengamuk akhirnya membunuh ahli keluarganya sendiri termasuk dirinya.
Terdapat pelbagai situasi seseorang itu boleh mengamuk. Bayi yang sedang menyusu pun boleh mengamuk apabila tiba-tiba botol susunya terjatuh. Seorang kanak-kanak akan mengamuk apabila barang kesayangannya tiba-tiba dirampas orang. Guru disiplin bahkan pengetua pun boleh mengamuk apabila berhadapan dengan pelajar degil yang masih berkeliaran tidak mahu masuk kelas setelah locing dibunyikan. Seorang ibu pasti mengamuk apabila mendapati keadaan rumah berselerak dan tiada anak-anak membantunya mengemas rumah. Pekerja akan mengamuk apabila majikan lewat membayar gaji. Ahli parlimen pun boleh mengamuk ketika berlaku perang mulut di parlimen. Malah amukan boleh membuat seseorang itu membunuh orang lain atau ramai orang seperti yang berlaku dalam kes Hang Jebat mengamuk. Ertinya mengamuk boleh dikategorikan kepada level tertentu, ada yang berisiko kecil dan ada yang sampai ke tahap melakukan jenayah. Dalam terma pengubatan Islam, mengamuk dan merasuk adalah sinonim kerana kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa dan puncanya boleh terjadi kerana faktor kejiwaan, emosi dan psikologi ataupun faktor gangguan makhluk halus. Atau kedua-dua faktor tersebut tercantum pada diri invidu terbabit.
Orang ramai yang menyaksikan pula bukan tidak sudi menangkapnya, namun kerana khuatir situasi yang lebih buruk akan terjadi. Kita tidak mengetahui status kesihatannya, walaupun dia nampak sihat. Mungkin dia ada penyakit berjangkit, penyakit kulit kronik, penghidap AIDS, pembawa HIV atau sebarang penyakit yang merbahaya termasuk Covid19. Tiada orang sanggup menghampirinya apatah lagi menangkapnya atau memujuknya. Para pengawal atau anggota keselamatan akan amat berhati-hati menangani situasi orang mengamuk yang mengancam untuk membunuh diri atau menjadikan orang awam sebagai tebusan atau tawanan. Mereka terpaksa menggunakan peralatan khas atau menembak dengan ubat pelali. Adakah orang mengamuk itu seorang penjenayah?. Ataukah dia seorang pesakit jiwa atau gila?. Ataukah dia seorang pesakit gangguan atau terkena sihir al-Junun?. Ataukah dia cuma ingin menarik perhatian pihak tertentu seperti kes Prebet Adam?.
Walau apapun punca dan penyebab seseorang itu mengamuk, langkah-langkah yang cermat dan berhemat perlu diambil. Seseorang itu hanya dianggap merbahaya ketika sedang mengamuk, sedangkan kita mungkin jarang memerhati tanda dan gejala yang terdapat pada seseorang yang berpotensi untuk menjadi seseorang pengamuk. Pernahkah kita merujuk orang-orang yang kita sayangi kepada kaunselor, psikologis, psikiatris atau pengamal perubatan alternatif, khususnya perawat perubatan Islam?. Mereka adalah antara jauhari yang mengenal maknikam dan jangan biarkan sudah terhantuk baru tengadah. Dalam tulisan ini saya lebih suka menggunakan istilah orang mengamuk berbanding orang gila atau orang kerasukan syaitan. Dalam konteks rawatan Islam, saya ingin mencadangkan, sekiranya berhadapan dengan situasi yang saya sebutkan di atas, maka beberapa langkah perlu diambil:
Jika seseorang yang mengamuk itu perlu ditangkap dan diruqyah, maka langkah awal yang perlu dilakukan oleh perawat Islam ialah solat hajat dan memohon pertolongan daripada Allah swt, membaca doa-doa untuk membentengi diri dari semua bahaya dan kemudaratan dan perbanyaklah zikir belum bertemu atau berhadapan dengan orang mengamuk.
Memakai pakaian yang sesuai, menjaga SOP termasuk memakai sarung tangan. Bawalah beberapa orang pembantu untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Setelah berhadapan dengan orang mengamuk, bacalah doa-doa pemula, doa pelemah dan doa untuk menghindari syaitan dan menentang sihir kerana kemungkinan terdapat campurtangan makhluk halus dalam kes mengamuk.
Kemudian tataplah ke dua-dua belah matanya dalam-dalam sambil membaca antaranya WAL YATALATTAF hingga akhir ayat (Surah al-Kahfi: 19) lalu hembuskan sekuat-kuatnya ke arah mukanya (biasanya dia akan terjatuh atau pengsan). Berdasarkan situasi ketika itu, jika boleh pimpinlah tangannya ke tempat yang lebih selamat dengan ajakan yang baik dan berlembut. Yakinkan dia bahawa anda tidak ingin mengancamnya atau mencederakannya, sebaliknya akan memohon kepada Allah swt untuk membantunya.
Jika anda ada membawa bersama apa-apa makanan ringan dan minuman, berikan sedikit kepadanya sementara anda membaca ayat ruqyah tertentu pada air dan pada dirinya. Setelah selesai meruqyah, mandikan dia dan jiruslah tanpa membuka pakaiannya agar dapat membersihkan badannya dari kekotoran atau daki. Sambil memandikannya, berilah beberapa saranan dengan perkataan positif dan selangi dengan zikir dan ruqyah syifa’ dengan lafaz yang jelas (jahr).
Fokuskan permohonan kepada Allah swt agar diberi kemudahan, kekuatan dan kemampuan untuk mengembalikan kesedaran dan memulihkan orang itu kembali seperti orang normal.
Selain menekan atau memicit dengan jari pada mana-mana poin tertentu (ada 13 poin kesemuanya) khasnya dua urat leher (kiri dan kanan lehernya). Setelah itu pegang dan letak telapak tangan pada ubun-ubunnya dan bacalah ayat-ayat syifa’ sehingga selesai kemudian hembuskan ke ubun-ubunnya dan seluruh tubuhnya dari atas ke bawah. Lakukan sebanyak 3 (tiga) kali.
Setelah itu, anda boleh teruskan dengan teknik ketukan atau pukulan perlahan dengan tangan kanan ke beberapa titik hijamah (bekam). Setiap peruqyah yang juga pembekam pasti tahu titik-titik ini. Kemudian susuli dengan doa dan saranan positif seperti: Bismillah, anda akan sembuh, jangan khuatir anda akan sihat, anda akan tenang, anda sebenarnya dah nyaman dan sebagainya. Setelah itu diteruskan dengan membaca Surah al-Hasyr ayat 21 dengan niat untuk menghancurkan segala emosi negatif yang menghuni dalam dirinya, mindanya, emosinya dan juga di luarnya.
Setelah situasi agak tenang, ulangi mandian ke atasnya sambil terus berzikir dan meruqyah dengan doa dari al-Qur’an dan al-Hadith dengan niat untuk menghilangkan semua bentuk emosi negatif dan apa-apa sahaja penyakit yang menyebabkannya mengamuk baik penyakit medis mahupun non-medis.
Air bacaan ruqyah boleh diberi minum kepadanya dan sekiranya dia enggan, maka jangan berputus asa. Anda boleh percikkan air ke arahnya atau mengusap air ke kepalanya jika keadaan mengizinkan anda berbuat demikian. Adalah lebih elok jika pesakit sendiri melakukannya.
Langkah seterusnya ialah memujuknya agar membenarkan kepalanya dicukur atau digondolkan. Sambil itu perbanyakkan membca Surat al-Fajr (ayat 27-30) berulang-ulang sambil menip ke ubun-ubun dan dadanya atau kearah jantungnya. Setelah itu nasihatkan kepada ahli keluarganya agar rawatan susulan hendaklah diteruskan pada masa yang segera dan sesuai kemudiannya nanti.
Akhir sekali, terserahlah kepada pihak keselamatan (polis atau hospital) untuk mengambil apa-apa langkah seterusnya dan sekiranya bantuan pengamal perubatan Islam diperlukan, maka hendaklah membantu berdasarkan kemampuan yang dimiliki.
Kesimpulannya, selain pengamal perubatan Islam, mana-mana orang yang berkebolehan dan berkemampuan boleh mengamalkan kaedah dan teknik melumpuh dan menangkap orang yang mengamuk dengan syarat belajarlah terlebih dahulu dengan guru yang mursyid. Saya sarankan agar para petugas keselamatan turut mempelajari kaedah dan teknik ini termasuk anggota polis, ahli bomba, ahli forensik, anggota pertahanan awam, RELA dan lain-lain. Manalah tahu suatu ketika nanti mereka diperlukan hadir ke tempat kejadian orang mengamuk secara tiba-tiba. Maka tindakan First Aid atau Paramedik perlu dilakukan sebelum membawa pesakit mengamuk ke hospital untuk urusan selanjutnya.
Belajarlah sekurang-kurangnya asas ilmu ruqyah. Jangan buat sesuka hati atau mencuba-cuba sahaja kerana ini boleh mengundang bahaya. Nanti pengamuk sebenar sudah beres, dia pula yang mengamuk. Tulisan ini adalah sekadar pencerahan, justeru itu saya tidak menyenaraikan set doa dan ayat-ayat ruqyah berkaitan selengkapnya di sini. Jika perlu rujuklah pusat-pusat perubatan atau perawat berdekatan anda. InsyaAllah kelas pendidikan GPMM akan diteruskan selepas Mr dan Mrs Coronavirus menamatkan misinya nanti dan PKP telah berakhir.
SEKIAN.
Nukilan,
Dr Abdullah Yusof (abdy@GPMM)
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)
Jawatankuasa Eksekutif Pesatuan Terapi Psikospiritual Malaysia (PTPM).
19.6.2020 jam 12.20 pm.