Lathi challenge; mengundang pendamping (jin)
- Manusia adalah makhluk yang Allah SWT ciptakan dengan sebaik-baik kejadian sebagaiman yang disebutkan dalam Surah At-Tin ayat ke-4,
“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.
Antara keistimewaan manusia ialah kerana memiliki akal fikiran kerana dengan akal ini manusia dapat mengenal diri dan akan sentiasa melakukan perkara yang betul dan baik. Manusia juga diciptakan dalam keadaan elok jasmani dan rohaninya.
- Allah SWT juga telah memberikan penghormatan yang besar kepada manusia melalui perintahNya kepada para Malaikat dan Iblis untuk sujud kepada Nabi Adam a.s.
Para Malaikat mematuhi perintah Allah SWT kecuali Iblis yang enggan mematuhi perintah Allah SWT untuk memberikan penghormatan kepada Nabi Adam a.s.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kalian kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis, ia enggan dan takabur, dan adalah dia termasuk golongan orang-orang yang kafir.”
Ini adalah permulaan permusuhan antara iblis dengan manusia.
- Allah SWT telah menghukum iblis sebagai makhluk yang sesat dan iblis telah bersumpah untuk menyesatkan manusia hingga kiamat.
Firman Allah SWT bermaksud;
“Iblis menjawab, “kerana Engkau telah menghukumku tersesat, maka saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalanMu yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakkan mereka bersyukur.” (Al-A’raf : 16-17)
Inilah sumpah dan janji iblis untuk menyesatkan manusia dari pelbagai sudut sama ada manusia sedar atau pun tidak sedar. Pelbagai cara dan strategik iblis dan tenteranya lakukan untuk menyesatkan manusia dari tujuan hidup yang sebenar.
“Dan(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepadaKu”. (Surah AdzDzariyaat: Ayat 56)
Iblis dan tenteranya sentiasa berusaha untuk merosakkan manusia dari menyembah dan beribadah kepada Allah SWT serta menarik manusia untuk menyembahnya.
- Lathi Challenge menjadi trend semasa sehingga menimbulkan perbahasan dari pelbagai pihak yang peka terhadap masyarakat kita. Saya sebelum menulis artikel ini berulang-ulang kali mendengar lagu asal Lathi ini untuk memahami maksud disebalik lirik dan mesej yang ingin disampaikan kerana saya pelik bagaimana lagu ini boleh menjadi trend dalam masyarakat.
Lirik pertamanya sahaja telah menjatuhkan martabat penciptaan manusia sebagai sebaik-baik kejadian seperti point no.1 yang telah saya nyatakan.
I was born a fool, (Aku dilahirkan sebagai orang bodoh)
Broken all the rules. (Melanggar semua aturan)
Saya tidak berhajat untuk menghuraikan lebih berkenaan lirik lagu ini.
Manakala dalam video lagu tersebut di tonjolkan tarian kuda kepang dan juga wayang kulit yang merupakan tarian tradisional turun temurun. Saya tidak juga mahu mengulas panjang tentang tarian ini namun tarian ini tidak dinafikan bahawa ia berasal dari Jawa dan pernah digunakan untuk tujuan pemujaan.
Ada yang percaya kuda kepang dimainkan bertujuan untuk orang yang masih hidup menjalinkan hubungan dengan roh orang telah mati. Sebab itu kita biasa menyaksikan penari-penari kuda kepang ini ada yang naik “syeikh” semasa melakukan tarian tersebut.
Kemudian video lagu tersebut dikejutkan dengan tarian yang berbentuk pemujaan dengan menampilkan ‘pernampakan’ wajah yang buruk(seram) dari tubuh dan wajah yang asalnya elok. “Pernampakan” itu menunjukan perwatakan jahat dan membunuh. Dan bahagian inilah yang sangat diminati oleh pemilik akaun TikTok untuk meniru dan membuat “challenge” atas alasan seni.
- Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk memartabatkan kesenian dalam kehidupan mereka. Namun kesenian tersebut haruslah berpandukan pada syariat dan batasan yang telah ditetapkan dalam agama rahmat sekalian alam ini.
”Lathi Challenge” telah keluar dari batasan agama dan ia boleh melalaikan kita atas alasan keseniaan. Lirik, irama lagu dan video yang ditonjolkan bersifat pemujaan kepada makhluk dan dikhuatiri makhluk yang ingin kita ikuti itu adalah syaitan yang cuba menyesatkan kita.
Saya berani untuk menyatakan bahawa anda boleh didatangi pendamping dari kalangan jin yang jahat apabila anda membuat Lathi Challenge ini kerana tanpa sedar anda seolah-olah memanggil mereka dalam bentuk pemujaan tanpa sedar.
Hal seumpama ini belaku pada penari kuda kepang, yang mendengar irama muzik, menari dan akhirnya mereka dimasuki jin yang mengawal tubuh badan mereka. Anda bukan sahaja menari, namun meconteng wajah anda untuk kelihatan seram dan menakutkan yang mana wajah seumpama itu sinonim dengan jelmaan jin yang cuba menakut-nakutkan manusia dalam rupa yang menyeramkan itu. Jadi tidak mustahil datang jin mendampingi anda dan mereka tidak mahu berpisah dengan anda. Dan ingatlah perbuatan pemujaan atau seumpama pemujaan itu adalah HARAM.
Justeru itu, nasihat saya pada umat Islam yang telah membuat Lathi Challenge ini, bertaubatlah dan perbanyakkan istighfar pada Allah dan mohon doa agar Allah SWT lindungi diri kita dari segala tipu daya iblis dan syaitan.
Pilihlah jalan kesenian yang membina diri kita dan masyarakat.
Wallahu’alam.
Tulisan : Mohd Zul Amirul Izwan Bin Mat Deraseh
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia

