Amalan pemutus saka

Sebut sahaja SAKA, ramai yang tercengang, kaget dan terbeliak mata, dan hati berbisik cemas, takut dan bimbang tentang angkara jin yang dinamakan saka. Jahat sangatkah saka ini dan buruk sangatkah rupanya?. Dalam masyarakat tradisional Melayu, saka dikaitkan dengan bomoh dan bidan, namun kini sesiapa sahaja boleh mewarisi atau mendapatkan saka untuk dirinya. Saka adalah jin warisan, keturunan atau nasab atau dinamakan juga saka nenek moyang, namun istilah saka lebih popular penggunaannya. Dalam pengajian jinnologi (saja nak beri istilah yang ummph sikit), saka adalah makhluk halus yang terikat dengan perjanjian tertentu dan tuannya adalah pemilik saka, manakala jin yang mengambil perjanjian itu dinamakan jin saka. Namun demikian ada yang tidak terikat dengan perjanjian, sekadar persefahaman antara saka dan pemiliknya dalam melakukan kerja-kerja tertentu.

Siapa pula tuan bagi saka tersebut?. Tuannya ialah ketua jin yang membekalkan jin-jin untuk memberi khidmat kepada manusia yang berhajat. Ketua jin sakalah yang memberi arahan dari masa ke semasa apa tindakan yang perlu dilakukan. Jin belaan pada peringkat awalnya tidak dinamakan saka kerana dia adalah pemula dan dia dinamakan sebagai jin khadam (sebenarnya manusialah yang menjadi khadam). Setelah tuannya mati, maka jin itu berpindah kepada salah seorang waris terdekatnya. Setelah pewarisan atau pemindahan itu berlaku, maka bermulalah saka (berasal dari kalimah pusaka) yang akan berkhidmat untuk pewaris baharu yang mempusakai jin peninggalan waris yang telah mati. Tempoh tersebut biasanya sepanjang hayat.

Demikian juga sekiranya seseorang mendapatkan khadam baharu dari kalangan jin, maka dia belum dinamakan saka, kecualilah dia kemudiannya mati dan jin tersebut berpindah kepada waris lain. Istilah pendamping pula ada ketikanya dirujuk kepada pembela saka dan ada ketikanya dirujuk kepada jin saka. Ini bermakna bila ada saka maka tentulah ada pembela atau pendampingnya. Penurunan atau pewarisan saka akan bermula dari waris paling atas sehingga waris ke bawah iaitu dari datuk atau nenek kepada anak, cucu, cucit, cuit dan seterusnya.

Namun ada kalanya saka berpindah kepada waris sisi iaitu sebelah saudara si mata hingga ke bawah atau saudara pasangannya yang mati ke bawah. Aspek keserasian tidak boleh ditolak tepi kerana jin saka hanya akan berpindah kepada waris yang serasi, depercayai dan boleh didampingi sahaja (pick and choose) walaupun bukan waris terdekat. Sekiranya waris terdekat yang dihajati itu menolak, maka pewarisan boleh dilakukan secara paksa melalui beberapa trik tertentu dan sekiranya saka itu gagal, maka dia akan membuat onar dalam keluarga pemilik saka.

Persoalan timbul, apakah kepentingan membela saka, kenapa pula perlu dibuang atau dipisahkan atau dibatalkan perjanjian untuk mengusir saka itu pergi. Istilah pemutus saka sebenarnya merujuk kepada pemutus perjanjian asal antara waris pemilik saka dengan jin saka. Dalam tradisi orang Melayu tradisional, jin yang menjadi saka kepada pemiliknya yang lelaki adalah hantu raya (contohnya bomoh) manakala bagi perempuan adalah pelesit (contohnya bidan). Kadang-kadang dalam sebuah keluarga terdapat kedua-dua jenis saka jika suami adalah bomoh dan isterinya pula adalah bidan.

Seperti yang kita ketahui, saka adalah jin yang boleh membiak atau beranak pinak, maka mudahkah kerja-kerja pengusiran atau penyingkiran ini melalui proses pemutus saka dijalankan?. Kerana kepayahan itulah maka sebahagian pengamal perubatan alternatif termasuk pengubatan Islam ada yang mengenakan caj yang tidak masuk akal, namun masuk akal jika diambilkira risiko yang pengamal bakal dihadapi. Apatah lagi jika saka yang ada dalam keluarga tersebut sudah berusia lanjut, tujuh keturunan lamanya. Saya bagaimanapun tidak bercadang untuk mengulas berhubung isu bayaran atau caj dalam tulisan ini.

Pencerahan ini akan cuba menyingkapi bagaimana proses pewarisan berlaku, apa jenis-jenis saka, apa tujuan pengambilan saka, kesan kepada pemilik saka dan ke atas ahli waris lain, serta apa pula kesannya sekiranya saka tidak dipindah milik. Tumpuan artikel ini ialah tentang amalan tertentu untuk memutuskan perjanjian saka agar saka tidak lagi terlibat dengan apa-apa perjanjian yang pernah dibuat, entah sudah berapa generasi terdahulu. Proses pemutus saka tidak semestinya berjaya dalam tempoh yang singkat kerana adakalanya kena diulangi beberapa kali. Artikel yang lalu saya ada menceritakan kenapa kadang-kadang ruqyah yang dilakukan gagal dan apakah faktor-faktor kegagalan tersebut.

Perlu difahami bahawa jin saka akan sentiasa mendampingi anak cucu atau mengikuti atau mengawasi anak cucu ke mana sahaja mereka berada. Ada kes, waris si mati berhijrah ke benua lain yang jauh dari tempat asalnya, namun saka itu tetap mengikutinya dan mengganggu keluarga tersebut. Gangguan ini boleh berlaku secara fizikal iaitu mendatangkan penyakit tertentu dan ada juga yang mencetuskan masalah emosi dan psikologi ahli keluarga.

Ringkasnya, saka adalah jin yang diwarisi daripada seorang manusia kepada seorang manusia lain samada secara disedari atau tidak dan biasanya melibatkan keturunan. Segala hantu-hantu seperti hantu raya, jin silat, jin tariqat, jin perubatan atau perbomohan, jin nenek moyang dan sebagainya yang diwarisi adalah saka.

Jika tiada kekecohan yang melibatkan saka, maka masyarakat Melayu jarang menyebutnya sebagai saka. Jin-jin silat atau seni beladiri dan perubatan tradisional tidak disebut saka dalam kebiasaan masyarakat Melayu. Jin-jin yang soleh dan jin Islam juga biasanya tidak disebut saka kerana dia tidak dianggap sebagai penggangu.

Pada zaman dulu-dulu, orang melayu kita gemar berdamping atau memelihara jin-jin untuk dijadikan sebagai pembantu dalam menjalankan kerja-kerja seharian seperti menjaga rumah atau kediaman, kebun, sawah dan ladang serta membantu pemiliknya melakukan kerja-kerja pengubatan atau perbomohan, persilatan dan sebagainya. Keterikatan manusia dengan saka mempunyai beberapa syarat dan ritual yang terpaksa dipenuhi dan inilah yang kerap dilihat sebagai melanggar aqidah dan syariat. Sekarang pengambilan saka baharu sudah jarang berlaku kerana masyarakat umumnya sudah dapat membezakan antara yang haq dan yang batil.

Syarat dan ritual yang diamalkan oleh pemilik asal tidak mampu dilakukan atau diteruskan oleh pewaris saka kemudiannya dan inilah yang menyebab kan saka naik berang, memberontak dan mengganggu ahli keluarga. Kontrak atau perjanjian yang terjadi menjadikan saka amat taat setia kepada tuannya namun taat setia tersebut tidak mengambilkira dari sudut aqidah dan syariat. Perjanjian biasanya melalui tempoh tujuh generasi atau tujuh keturunan dan ianya boleh diperbaharui terpulang kepada kehendak pewaris dan kesediaan saka itu sendiri. Pada umumnya terdapat dua jenis saka iaitu saka darat dan saka air berdasarkan asal usul dan tabiat asal saka tersebut. Bagaimanapun untuk pencerahan ini, saya akan senaraikan seperti berikut:

  1. Saka Harimau: Lambang saka ini ialah kekuatan, keberanian dan pantang dicabar sehingga pemiliknya digeruni dan ditakuti oleh manusia lain apatah lagi musuhnya.
  2. Saka Buaya: Simbol saka ini ialah mampu mengawal hidupan akuatik lain dengan kekuatan yang dimiliki dan pemilik saka ini dipercayai dapat menjinakkna buaya sepertimana pawang buaya.
  3. Saka Ular: Antara tanda pemilik saka ini ialah mampu mengawal dan menjinakkan ular, termasuk ular berbisa seperti tedung selar dan ular besar bersaiz besar seperti ular sawa.
  4. Saka Bomoh: Pemilik saka jenis ini mendakwa mampu mengubati orang termasuk pesakit gangguan makhluk halus. Saka akan membantunya memberi informasi berkaitan penyakit, punca dan cara merawatnya walaupun sebelumnya dia tidak pernah belajar ilmu pengubatan.
  5. Saka Bidan: Seperti juga saka bomoh tetapi memiliki kemampuan melancarlan proses bersalin tanpa apa-apa ilmu yang dipelajari secara formal.
  6. Saka Kuat atau Saka Kebal: Saka ini menjadikan pemiliknya sangat kuat dan perkasa sehingga mampu mengangkat objek berat yang tidak mampu diangkat oleh manusia biasa meskipun bilangannya ramai. Dia juga biasanya memiliki kuasa kekebalan baik kebal senjata mahupun kebal peluru.
  7. Saka susuk: Saka ini jika diambil oleh wanita, ia menjadikan pemiliknya kelihatan cantik dan anggun walaupun sudah berusia lanjut. Jika lelaki, biasanya untuk tujuan pemikat atau mendapatkan aura kekuatan tertentu.
  8. Saka Toyol: Saka ini dikenali juga sebagai saka budak kerana memilik sifat fizikal seperti budak kecil berkepala botak yang suka bermain (persis upin dan ipin) dan tujuan dibela hanya untuk mencuri wang manusia lain secara ghaib.
  9. Saka lain ialah seperti saka monyet yang memiliki sifat dan karekter tertentu.
  10. Saka monyet: membolehkan pemiliknya memanjat pokok dengan pantas dan berkebolehan bergayut dari satu dahan atau dari satu pokok ke pokok lain dengan mudah, seolah-olah dia boleh berterbangan. Saka ini akan mempermudahkan urusan di kebun atau ladang.

Terdapat dua bentuk saka; yang disedari dan tidak disedari;

  1. Saka yang disedari – ertinya keluarga pemilik saka menyedari saka masih berada dalam keluarga mereka. Mereka terus mengamalkan ritual atau upacara tertentu atau menyimpan benda pusaka tertentu seperti kain berwarna hitam, kuning atau cokelat, barang perhiasan, alat senjata, peralatan persilatan, perbomohan dan perbidanan dan sebagainya bergantung pada jenis saka yang dimiliki. Selain itu terdapat mantera tertentu yang mesti dibaca dan diamalkan pada waktu tertentu oleh pewaris saka.
  2. Saka yang tidak disedari – Biasanya ahli keluarga hanya menyedari apabila terjadi beberapa peristiwa ganjil, pelik dan misteri dalam kalangan ahli keluarga sedangkan sebelum itu mereka tidak pernah menyedari kehadiran saka tersebut.

Contohnya ada ahli keluarga yang terkena penyakit ganjil dan kronik yang gagal diubati atau sering didatangi oleh mimpi yang menakutkan. Dalam situasi ini biasanya penyakit dan masalah yang berlaku sukar dikenalpasti puncanya menerusi perubatan moden. Setelah dirujuk kepada perawat, pesakit kemudiannya diselidiki dan didiagnosis, didapati terdapat tanda dan gejala tertentu yang indikasinya bersamaan dengan gangguan saka. Masalah lain seperti penyakit mental, gangguan psikologi, masalah rumahtangga, masalah jodoh dan keguguran atau sukar memperolehi zuriat sering terjadi dalam keluarga yang memiliki saka.

Terdapat banyak simptom atau gejala yang dialami oleh pesakit gangguan saka. Secara ringkasnya adalah seperti berikut:

  1. Sakit anggota badan tertentu.
  2. Gangguan emosi dan perasaan.
  3. Gangguan pemikiran dan minda.
  4. Gangguan tidur.
  5. Halusinasi dan delusi.
  6. Masalah pernafasan dan kelelahan.
  7. Nafsu selalu terangsang atau sebaliknya.
  8. Lain-lain seperti kerap bermimpi dan diajar sesuatu menerusi mimpi, nyanyuk, panas baran, sakit bila menziarahi orang mati, mendapat penyakit genetik, mendakwa boleh melihat makhluk halus:

1) Di dunia alam yang nyata.

2) Sakit anggota badan/pengsan bila menziarahi orang yang meninggal dunia.

3) Banyak penyakit genetik/ketumbuhan ganjil pada badan.

4) Mendakwa boleh melihat jin/makhluk halus.

Seorang pesakit (Pasien) yang mengalami sakit akibat Saka, Beberapa bahagian tubuh seperti tulang belakang (saraf tunjang), otak, jantung dan abdomen adalah antara organ yang digemari jin. Dari situlah jin akan menguasai pergerakan tubuh badan, minda dan emosi seseorang.

Masalah yang berlaku ialah, keluarga pemilik saka, sekiranya menyedari kehadiran saka tidak berikhtiar mendapatkan rawatan yang betul berlandaskan syariat Islam. Tidak kurang yang menjadi mangsa penipuan akibat mendapatkan khidmat dari bomoh palsu atau bomoh temberang atau pengamal alternatif yang kurang berpengalaman atau melakukan amalan dan ritual sesat termasuk membekalkan wafaq, tangkal dan azimat tertentu atau meletakkan syarat-syarat yang bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam.

Menerusi ruqyah syar`iyyah, terdapat metode yang digunakan untuk memutus hubungan perjanjian dengan Jin saka yang dinamakan sebagai IKRAR PEMUTUS PERJANJIAN, yang bertujuan untuk melepaskan ikatan mantera jin saka atau khadam dan tidak lagi mencampuri urusan keluarga tersebut atau keturunan atau anak cucu cicit seterusnya. Majlis ini hendaklah disertai oleh semua ahli keluarga dari yang paling tua hingga yang paling muda kecuali yang berkeuzuran. Majlis ini hendaklah dibimbing atau dipandu oleh perawat yang berpengalaman. Perlu diingat, sekurang-nya tiga hari sebelumnya, ruqyah memohon perlindungan hendaklah dibuat di tempat atau di rumah yang dipilih sebagai tempat pemutus saka.

Taklimat ringkas hendaklah diberikan oleh peruqyah kepada ahli keluarga yang hadir berkenaan tujuan majlis diadakan dan langkah-langkah perlindungan serta amalan tertentu yang perlu dibuat oleh mereka selepasnya. Sekiranya perlu, sediakan bahan rawatan seperti air mineral dan garam kasar + lada hitam (mana-mana berkenaan). Seterusnya disusuli dengan bacaan surah yasin dan solat hajat berjamaah terlebih dahulu. Waris yang paling tua dalam keluarga adalah pembaca ikrar untuk keluarganya. Tuliskan semua nama-nama ahli keluarga menurut urutan dan sebutkan satu persatu oleh wakil atau pembaza lafaz ikrar. Contoh lafaz ikrar adalah seperti berikut:

Bismillahirahhmanirahim

Ya Allah , sesungguhnya aku mewakili diriku dan seluruh ahli keluarga keturunanku dengan penuh kesedaran, keinsafan dan pertaubatan, dengan ini berikrar bahawa:

Wahai para jin…

  1. Kami ingin memutuskan semua perjanjian, atau ikatan yg kami, atau orang sebelum kami, atau keluarga besar kami, yang sekiranya perjanjian itu pernah lakukan, baik secara sedar mahupun tidak dengan segolongan jin.
  2. Kami mengharamkan tubuh badan kami dari dimasuki, dihuni atau diperlakukan dengan apa jua tujuan, oleh apa jua jenis jin dan pada bila-bila masa.
  3. Kami menegaskan bahawa kami dengan penuh yakin dan percaya kepada Allah dan hanya kepadaNyalah bergantung mengharapkan perlindungan dan pertolongan, bukan kepada mana-mana golongan jin.
  4. Kami sesungguhnya memutuskan perjanjian antara kami atau nenek moyang kami dengan kamu wahai jin, maka pergilah kamu, kembalilah ke tempat asal kamu, cukuplah dengan apa yang terjadi sehingga saat ini. Kami bebaskan kamu dan kami mendoakan agar kamu nanti menjadi makhluk Allah yang beriman dan taat kepadaNya. Sekiranya kamu enggan dan engkar, maka dengarkanlah… Ya Allah (diikuti oleh semua ahli keliuarga), mulai dari saat dan ketika ini:

Aku tidak menghalalkan semua makanan dan minumanku, seluruh anggota tubuhku dari semua jin yang berada di dalam dan di luar tubuhku atau yang menggangguku.

Ya Allah, Sekiranya meraka (jin) makan dan minum, jadikanlah Ya Allah semua pemberian dan milikMu itu Ya Allah, sebagai racun buatnya, racun yang amat panas, racun yang amat berbisa, racun yang membakar, racun yang membunuh semua jin-jin itu Ya Allah. Dengan haq La ilaha illallah Muhamadurasulullah. Amin 3x Ya Rabbal `Alamin .

Setelah selesai upacara ikrar pemutus, peruqyah akan membaca doa dan ayat ruqyah khusus dan diikuti dengan doa selamat.

Kesimpulannya, saka adalah jin warisan atau nasab yang diambil untuk tujuan tertentu. Sebelum pemilik saka itu meninggal dunia dan saka tidak dipindahkan atau diwarisi oleh mana-mana ahli waris, maka saka akan berusaha pencari pelindung atau pewaris baharu. Sepatutnya saka tidak perlu dan tidak patut diwariskan kepada sesiapa. Cukuplah dengan berikhtiar menurut kaedah perubatan Islam. Jika tidak, pewarisan saka akan terus berlanjutan dan anak cucu dan cicit kemudiannya akan menanggung akibat buruk. Selain melakukan ruqyah biasa, amalan pemutus perjanjian saka adalah salah satu metode yang ampuh untuk menangani masalah saka dalam keluarga.

SEKIAN,
Nukilan, Dr Abdullah Yusof
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)
– 9.6.2020 jam 1.00 pm