Stres musim covid19 dan solusi menerusi psikoterapi ruqyah

A. Pendahuluan

Apabila Novel Coronavirus mula tersebar dari tempat kelahiran, tanah tumpah darahnya di Wuhan, China dan mula berkelana ke seluruh dunia dengan pantas, penduduk dunia menjadi hairan, panik dan menyangka dunia sedang berada di ambang kiamat. Angka kes positif dan kematian akibat covid19 melonjak secara drastik setiap hati khususnya di negara-negara maju, apatah lagi apabila wabak ini kemudiannya diisytiharkan sebagai pandemik. Dunia seolah-olah berhenti berputar seketika, semua aktiviti penduduk dunia tergendala dan pergerakan manusia terkepung persis berada dalam penjara tawanan perang. Adakah ini umpama tempoh istirehat atau coffee Break kepada penduduk bumi, hanya Allah swt yang mengetahuinya. Ramai orang menyangka ia dapat dikawal dengan mudah memandangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memiliki pakar-pakar penyakit berjangkit bertaraf dunia.

Dalam situasi begitupun, ada pihak yang menerimanya dengan tenang dan santai tanpa menjangkakan ia akan meragut ratusan ribu nyawa termasuk di negara-negara maju. Pakar-pakar perubatan dan kesihatan seluruh dunia yakin bahawa vaksin yang sedia ada seperti yang pernah digunakan untuk melawan Malaria, e-Bola, Sars dan lain-lain berupaya untuk membendung pandemik tersebut dengan mudah. Tahap optimistik memuncak dan mereka berusaha meredakan ketegangan kegusaran penduduk dunia yang mula terkesan sejak penghujung tahun 2019. Mereka telah mencadangkan beberapa langkah pencegahan dan SOP untuk mematikan rantaiannya bagi orang ramai aplikasikan dalam rutin seharian. Para petugas barisan hadapan bertungkus lumus dengan segala peralatan, keupayaan dan sokongan logistik yang ada. Apa pun kita bersyukur di atas usaha proaktif ini menerusi KKM dan pemahaman serta kerjasama yang baik dalam kalangan penduduk.

Fokus tulisan ini ialah menyentuh kesan penularan covid19 dari sudut emosi dan psikologi manusia, tidak kiralah mereka adalah raja dan pemimpin dunia, majikan atau pekerja, orang kaya atau orang miskin semuanya terpalit. Ertinya semua lapisan masyarakat setidak-tidaknya mengalami stres, iaitu gangguan psikologi yang ringan berbanding depresi dan gangguan mental lain.

Stres merupakan gejala perasaan tidak senang, tidak selesa, berkecamuk atau tidak nyaman yang dialami oleh seseorang yang mengakibatkan fikiran, emosi dan tindakannya terganggu sehingga kehidupan sehariannya tidak lagi efektif. Setiap orang mungkin mengalami satu kondisi atau lebih bergantung kepada berapa banyak faktor yang menyumbangkan kepada stres kesan dari covid19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/MCO).

Setiap individu yang mengalami stres sangat subjektif dan individualistik sifatnya dan cara mengatasinya juga ada berbagai variasi. Tidak semestinya stres mencetuskan kesan negatif terhadap kesihatan mental seseorang kerana ia bergantung pada sejauh mana individu tersebut memiliki keupayaan untuk mengatasi atau mengurus stres yang dialaminya.

Tulisan ini akan menyentuh tentang pengertian, indikator, penyebab serta akibat jika stres tidak dapat diurus atau dikendalikan dengan baik. Saya cuba menawarkan solusinya melalui perspektif Islam iaitu Psikoterapi Ruqyah sebagai tawaran alternatif tanpa menidakkan mana-mana kaedah lain yang sedang digunakan ketika ini. Diharap agar tulisan ringkas ini dapat dimanfaati dan menyumbang dalam usaha memelihara dan menstabilkan kesihatan mental termasuk stres pada masa kini dan pasca covid19 dan PKP nanti.

B. Pengertian

Pelbagai takrifan diberikan kepada perkataan tekanan emosi atau stres. Oxford English Dictionary misalnya mendefinisikan stres dari aspek psikologi dan biologi adalah satu keadaan yang kurang disenangi (dan) mengganggu fungsi normal fisiologi dan psikologi seseorang. Dalam Bahasa Arab perkataan yang menunjukkan makna stress atau tekanan ini adalah daght ضغط. Menurut Kamus al-Mawrid perkataan daght ini bermaksud kekuatan tekanan, juga bermaksud paksaan dan menyempitkan. (al-Mawrid Arab – Inggeris, 1991). Kamus al-Mu’jam al-Arabi al-Asasi juga memberikan maksud daght dengan makna yang hampir sama iaitu bersangatan dan menyempitkan (Kamus al-Mu`jam al-Arabi al-Asasi, 1989).

Dari sudut etimologi atau bahasa (lughatan), istilah stres merujuk kepada tension yang bererti ketegangan-ketegangan saraf (Hassan Shadily, 1997:583). Secara istilah (istilahan) pula, Hans Selye dalam Dadang Hawari (2002:17), menyatakan bahawa stres merupakan respons tubuh yang sifatnya non-spesifik terhadap setiap tuntutan beban ke atasnya. Jika seseorang tidak sanggup mengatasinya maka terjadilah gangguan pada satu atau lebih organ tubuh yang mengakibatkan organ yang berkaitan tidak dapat menjalankan fungsinya dengan baik. Dari terminologi ringkas di atas, dapat ditarik kesimpulan awal bahawa stres merupakan suatu keadaan serba tidak kena atau tidak nyaman yang dialami oleh individu dan keadaan tersebut akan mengganggu fikiran, emosi, tindakan atau perilaku dalam kehidupan seharian. Hal tersebut bersifat individual dan subjektif. Maksud individual dan subjektif di sini adalah kondisi stres yang dialami oleh seseorang tidak sama orang lain dan cara pengawalannya pun tidak sama. Contohnya apa yang dialami oleh petugas di barisan hadapan tidaklah sama dengan petugas di barisan belakang ataupun orang awam.

C. Punca

Pada umumnya punca stress diakibatkan oleh keterbatasan diri seseorang dalam menghadapi atau menyingkapi sesuatu yang terjadi. Jika dihubunakan dengan ajaran Islam, sebahagian ulamak yang mendalami bidang Ilaj al-Nafsi (pengubatan sakit jiwa) stres terjadi berkemungkinan disebabkan oleh dosa yang dilakukan dan menjalani kehidupan yang menyimpang dari syariat Islam atau kurang. Berpunca kerana dosa pada hakikatnya melibatkan segala bentuk tindakan, perbuatan atau sikap yang melahirkan rasa gelisah dan penyesalan bagi pelakunya kerana tidak berpandukan ajaran Islam (Lihat Surah al-Taubah ayat 128 & 129). Meskipun tiada bukti saintifif yang boleh mengaitkan dosa dengan stres namun banyak testimoni menunjukkan pelaku dosa baik dosa besar mahupun dosa kecil apabila dia berusaha menghentikan segala perbuatan tersebut dan menjalani terapi psikoterapi ruqyah, kesannya amat positif untuk membebaskan diri dari beban stres.

Punca lain ialah seperti ketidakmampuan seseorang mengatur kehidupannya dalam memenuhi segala keperluan hidup sehingga dia mengalami situasi tegang. Contohnya, setelah PKP diperkenalkan, dia terpaksa melalui rutin hariannya yang sudah bertukar sehingga dia merasa cemas, gelisah, sedih, murung dan sebagainya. Sekiranya dia tidak bijak menangani situasi tersebut, maka akan timbul perasan menyalahkan Tuhan, mengalami kerapuhan aqidan/tauhid dan imannya turut tergugat.

Apabila melakukan dosa dan secara berterusan tanpa adanya rasa bersalah dan ingin bertaubat akan menimbulkan kegelisahan, kesedihan dan kecemasan. Jarang orang sebegitu akan tetap merasa aman dan bahagia setelah melakukan dosa dan maksiat. Dosa dan maksiat sebenarnya mendera pelakunya sendiri. Fikiran menjadi berkecamuk, gelisah, jiwa kacau, rasa tercabar, geram, sedih dan berbagai gejala lain yang menyumbang kepada masalah psikologi termasuk stres. Pelaku akan merasa diri terhina, hilang rasa malu, pintu hati tertutup, sering lupa, ketakutan, khawatir, gelodak rasa cemas, semangat lemah, motivasi diri hilang, hilang keceriaan dan juga kelemahan syahwat (Lihat Ibn Qayyim al-Jawziyyah (cet 2006), al-Dawa al-Dawa–2006).

Di antara punca stres menurut pengamatan saya berhubung kesan covid19 dan PKP (semasa tempoh) ialah seperti senarai berikut):

Bil.
PUNCA STRES

  1. Masalah kematian mengejut suami/isteri/anak
  2. Masalah perceraian atau perpisahansecara mengejut
  3. Masalah kematian ahli keluarga terdekat
  4. Masalah gangguan kerana dikuarantin
  5. Masalah urusan pertunangan atau perkawinan
  6. Masalah kehilangan pekerjaan atau tamat kontrak
  7. Masalah dikenakan tahanan rumah
  8. Masalah perkawinan dan rumahtangga
  9. Masalah ahli keluarga mengidap penyakit tertentu
  10. Masalah kehamilan atau bersalin
  11. Masalah perhubungan suami isteri
  12. Masalah kehadiran anggota baharu dalam keluarga
  13. Masalah perubahan status kewangan keluarga
  14. Masalah tindakan mahkamah atau institusi kewangan
  15. Masalah perubahan jenis pekerjaan
  16. Masalah konflik suami/isteri dan keluaga
  17. Masalah berpindah rumah atau tempat tinggal
  18. Masalah urusan pinjaman, perjanjian dll
  19. Masalah perubahan spesifikasi baharu pekerjaan
  20. Masalah pendaftaran masuk IPT
  21. Masalah perhubunga ibubapa dan anak-anak
  22. Masalah pengajian dan persekolan
  23. Masalah prestasi kerja
  24. Masalah menukar habit/kebiasaan peribadi
  25. Masalah hubungan dengan rakan sekerja
  26. Masalah bertukar tempat tinggal atau tempat kerja
  27. Masalah perubahan skop, masa atau jam kerja
  28. Masalah urusan kewangan, perbankan, pinjaman dll
  29. Masalah bentuk dan jenis aktiviti hiburan dan rekreasi
  30. Masalah aktiviri/kegiatan sekolah secara atas talian
  31. Masalah isolasi
  32. Masalah menukar kebiasaan makan, belajar dan tidur
  33. Masalah masa dan kekerapan pertemuan keluarga
  34. Masalah sambutan perayaan, harijadi dll
  35. Masalah destinasi melancong atau istirehat
  36. Masalah pelanggaran undang-undang semasa
  37. Masalah majikan, pengusaha, usahawan dll
  38. Masalah pekerja asing, PATI dll
  39. Masalah aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan
  40. Masalah restruktur aktiviti pasca covid19 dan pasca PKP

Senarai di atas dibuat secara rambang berdasarkan pengamatan semasa. Ianya sebagai contoh bahawa masalah-masalah tersebut boleh menyumbang kepada stres. Namun demikian bagi sesetengan golongan masyarakat, Covid19 dan PKP memberi rahmat dan kebaikan tertentu. Contohnya orang-orang yang menjalankan perniagaan atau terlibat memberi perkhidmatan tertentu kepada masyarakat. Para peniaga atau pengusaha yang menjalankan urusan secara atas talian mendapat keuntungan di luar jangkaan sepanjang tempoh PKP. Ini menunjukkan bukan semua orang mengalami stress yang sama dan cara menaganinya bukanlah serupa.

Memandangkan stres mempunyai sekurang-kurangnya enam tahap (Lihat Robert J. Van Amberg, 1979) iaitu bermula dengan tahap 1 iaitu tahap ringan sehinggalah ke tahap yang serius iaitu seseorang akan mengalami penderitaan fisik dan mental yang semakin mendalam (physical and psychological exhaustion), gangguan sistem pencernaan semakin berat (gastro-intestinal disorder) serta timbul perasaan ketakutan dan kecemasan yang semakin meningkat, mudah bingung dan panik. Kemuncaknya, seseorang akan mengalami serangan panic (panic attack) dan perasaan takut mati. Banyak kes orang yang mengalami stres tahap berat ini terpaksa dirujuk ke Unit Kecemasan dan Trauma bahkan ke ICCU berulangkali namun diagnosis menunjukkan dia tidak mengalami sebarang gangguan fisik organ tubuh badan. Antara gejala tahap ini ialah seperti degupan jantung yang amat laju, susah bernafas (sesak dan termengap-mengap), badan terasa gementar, keringat dingin bercucuran dan tidak bermaya sehingga mengalami pengsan atau kolap (collapse).

Stres jika dibiarkan berterusan atau berpanjangan akan mencetuskan keadaan depresi dan seseorang mangsa depresi bercenderungan untuk membunuh diri jika tidak dirawat segera. Selain mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan oleh klinik dan hospital, antara solusi yang boleh dianggap holistik ialah pemulihan jiwa/hati/nafs/qalbu yang tertekan itu dengan beberapa teknik dan pendekatan menurut Islam. Berhubung penyakit hati, sila rujuk firman Allah swt (Surah al-Nur ayat 50). Begitu juga mengenai amalan memperingati Allah (menerusi zikir) sepertimana dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Ra`d : 28 (maksudnya):

Orang-orang yang beriman (benar-benar beriman) akan tenang hati mereka apabila mendampingi (zikir) Allah dan ingatlah olehmu bahawa dengan mendampingi Allah hati-hati mereka akan memperolehi ketenangan.

Seterusnya Allah swt berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 10 (maksudnya) :

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

D. Terapi Psikologi Ruqyah

Terapi ini dicadangkan agar pola hidup pengidap stres perlu dihalakan kepada kebiasaan baharu (new normal), agar ianya nanti akan menjadi kebiasaan yang konsisten (istiqamah). Selain amalan wajib atau fardu, solat sunat taubat, membaca al-Qur’an, zikir dan lain-lain, penderita stres juga digalakkan membiasakan diri dengan ruqyah (iaitu bacaan doa dari hadith-hadith dan ayat-ayat al-Qur’an untuk tujuan syifa’ atau kesembuhan). Antara bacaan ruqyah ringkas yang disarankan ialah:

  1. Amalan membaca Surah al-Fatihah 7 X setiap kali selepas solat.
  2. Amalan membaca istighfar, tasbih, tahmid dan takbir.
  3. Amalan membaca selawat ke atas Nabi saw.
  4. Amalan membaca Ayat Kursi (al-Baqarah: 255).
  5. Membaca surah al-Kafirun, Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas).
  6. Amalan membaca Ayat Pemecah Kebuntuan al-Hasyr:21-24).
  7. Amalan membaca Surah Taha: (1-5).
  8. Amalan membaca mana-mana doa ma`thurat yang sesuai.

Kesimpulannya, Covid19 membawa kepada pelaksanaan PKP dan kedua-duanya dilihat berpotensi menimbulkan implikasi tertentu dari sudut psikologi. Kita bernasib baik kerana pihak berkuasa, KKM dan semua petugas di barisan hadapan dan di barisan belakang termasuk orang awam bersama-sama memberi komitmen yang tinggi sehingga penularan Covid19 dapat dibendung walaupun ketika ini belum dapat dibasmikan sepenuhnya. Pada hari ini kerajaan memberi kelonggaran untuk merentas negeri agar rakyat berasa lega dan tindakan ini diharap dapat merungkai sebahagian simdrom stres yang dialami oleh sesetengah individu. Namun demikian, rakyat tidak boleh terlalu seronok dan leka kerana Mr dan Mrs Corona mungkin akan mencetuskan gelombang seterusnya yang lebih dahsyat sekiranya rakyat mengabaikan aspek SOP dan mana-mana peraturan yang dikenakan. Akhir kalam, marilah kita terima situasi ini dengan berserah kepada Allah swt dan menadah tangan berdoa agar pendamik tersebut menamatkan misinya dengan segera.

SEKIAN.

Nukilan Dr Abdullah Yusof
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)
Jawatankuasa Eksekutif, Pesatuan Terapi Psikospiritual Malaysia (PTPM).
8.6.2020 jam 5.40 pm.