Mendidik atau membandingkan

(Siri Psikologi Keluarga)
1. Cuba perhalusi dialog di bawah :

“Awak, cantikkan cara pemakaian kawan sepejabat awak tu”.

“Abang ‘sweet’ kan suami dia, bagi hadiah gelang emas pada ulang tahun perkahwinan yang ke-6 bulan?”

“Putihnya kulit dia kan, sejuk mata memandang”?

” Si Milah tu, janda anak tiga pun, elok je tubuh badan dia kan?”.

“Bagusnya suami jiran sebelah, selalu je masak untuk isteri dan anak-anak”?

“Awak ni bila nak bertaubat?, si Nora yang dulu seksi pun dan tutup aurat dengan elok”.

” Cuba awak tengok isteri orang lain, tiada pun banyak membebel macam awak ni”.

“Baguskan keluarga dia, setiap tahun travel sana sini”.

“Abang, suami dia tu selalu duduk tengok anak mereka belajar”

2. Peribahasa orang tua kita pernah menyebut, “bagai cincin dengan permata”, “bagai pinang dibelah dua”. Peribahasa ini bertujuan menyatakan bahawa pasangan suami isteri tersebut sama cantik dan sama padan. Tidak sepadan mana nak berkahwin kan?

Ya, Allah SWT telah memberikan jodoh yang terbaik buat setiap pasangan yang berkahwin. Namun, setiap pasangan perlu sedar bahawa perkahwinan itu ada onak durinya, ada ujiannya dan ada pasang surutnya.

Justeru itu, amat penting setiap pasangan sentiasa mempersiapkan diri bagi menghadapi setiap ujian yang datang dalam kehidupan berumah tangga. Tidak ada pasangan yang tidak mengalami permasalahan seperti mana yang dikatakan oleh peribahasa melayu, ” senduk dengan belanga lagi berlaga”. Maksudnya suami isteri dan ahli keluarga kadang kala pasti ada perselisihan.

3. Suami isteri melengkapi antara satu sama lain. Ini bermaksud masing-masing memainkan peranan bersama bagi memastikan keadaan rumah tangga sentiasa tenang dan bahagia. Suami memimpin keluarga dan isteri pula membantu suami dalam memimpin keluarga.

Antara elemen terpenting dalam memimpin keluarga ialah mendidik. Suami mendidik isteri, begitu juga isteri membantu suami dalam mendidik keluarga dan anak-anak.

Oleh itu, untuk mendidik setiap pasangan perlu menambah ilmu agar mampu untuk mendidik pasangan dan anak-anak dengan cara yang betul kerana setiap pendidikan itu ada proses dan kaedahnya yang tersendiri. Jika proses dan kaedahnya salah pasti matlamat yang ditetapkan tidak mampu tercapai.

4. Tanpa ilmu mendidik juga akan mengakibatkan konflik yang berlaku dalam rumah tangga bertambah buruk. Sudah perhalusi dialog contoh yang saya tulis di point pertama?. Adakah anda rasa dialog seumpama itu boleh mencapai tujuan mendidik? Adakah ia boleh mendatangkan natijah yang baik?

Ya, niatnya untuk mengajak suami isteri supaya mencontohi orang lain. Namun, melakukan perbandingan tanpa proses yang betul memberikan kesan yang buruk pada pasangan masing-masing. Cuba tengok contoh ini,

“Awak, cantikkan cara pemakaian rakan sepejabat awak tu”.

Suami mungkin bercakap begitu bertujuan nak bagitau isteri bahawa dia pun akan lebih cantik jika berpakaian seperti rakannya itu. Tetapi isteri yang mendengarnya tidak berasa begitu, bahkan boleh menyebabkan isteri rasa rendah diri untuk bekerja pada hari itu serta boleh meng”dinginkan” hubungan isteri dengan rakannya itu.

5. Seperti yang saya sebutkan tadi, mendidik ada proses dan caranya. Dalam kes tadi sebagai contoh, banyak pendekatan kreatif yang boleh suami lakukan untuk mendidik isterinya agar berpakaian lebih berketerampilan di tempat kerja seperti menghadiahkan pakaian seumpamanya pada isterinya.

“Abang, suami dia tu selalu tengok anak dia belajar”. Saya cuba memberikan satu lagi contoh. Dalam situasi ini isteri mungkin ingin memberitahu suaminya agar memperuntukkan masa semasa anak-anak mereka belajar dan tujuan isterinya ini baik. Namun, kaedah membandingkan sebegini akan mencabar ego seorang suami.

Saya kira mungkin suaminya akan membalas, “setiap orang caranya tak sama dalam mendidik anak-anak. Tidak semestinya dia memperuntukkan masa bersama anak dia tu semasa belajar anak dia boleh berjaya”. Akhirnya ia hanya menjadi perbahasan yang menatijahkan perselisihan antara suami isteri.

Jika isteri itu, ada ilmu dalam hendak mendidik suaminya tadi pasti dia ada cara yang lebih kreatif untuk mengajak suaminya memperuntukkan masa sedikit semasa anak mereka belajar.

6. Kesimpulan yang saya dalam tulisan ringkas saya ini ialah suami isteri jangan berhenti belajar bagaimana caranya untuk mendidik dan menguruskan keluarga lebih-lebih lagi dengan cara Islam agar keluarga sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.

Mendidiklah jangan membandingkan!!

Nota : gambar di ambil dari Google.

Penulis : Mohd Zul Amirul Izwan Bin Mat Deraseh
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia