Trik syaitan mengadu-domba sesama peruqyah
Siri pencerahan GPMM berikut ialah mengenai adab dan etika yang seharusnya diamalkan oleh mana-mana peruqyah untuk mengelakkan fitnah, salam faham dan kekeliruan dalam masyarakat. Kami menyedari bahawa gangguan jin dan syaitan bukan hanya berlaku ke atas para pesakit bahkan para perawat sendiri tidak terkecuali adakalanya terkena tempiasnya. Jin dan syaitan sentiasa berusaha untuk menghancurkan dan menggagalkan dunia peruqyahan dengan pelbagai trik yang amat licik. Antara trik yang paling ampuh ialah memasang perangkap dan strategi agar sesama peruqyah dan sesama pesakit berkelahi, bersangka buruk, mencurigai dan meremehkan antara satu sama lain.
Terdapat peruqyah yang bukan sahaja meremehkan perawat dari persatuan atau aliran lain bahkan dari kalangan sesama perguruan pun hal ini terjadi dan ianya bukanlah sesuatu yang asing. Begitu juga antara satu persatuan dengan persatuan yang lain boleh berlaku tuduh-menuduh dengan pelbagai sangkaan buruk yang syaitan adalah dalangnya. Saya tidaklah berniat membuka aib mana-mana pihak atau membuka pekung di dada namun itulah realitinya berdasarkan pengakuan dan pengalaman para peruqyah dan pesakit sendiri. Justeru itu, kami di GPMM ingin mengenengahkan beberapa hal agar isu-isu seperti itu dapat dijernihkan dan semua peruqyah dapat bersatu-hati dan senada dalam memberi khidmat dan menunaikan fardu kifayah ini kepada ahli masyarakat yang memerlukan. Antara isu yang berlaku ialah:
- Terdapat perawat yang tidak berlapang dada dalam menghadapi perbezaan pendapat berkaitan ruqyah, metode dan tekniknya termasuk bahan rawatan.
- Terdapat perawat yang merasakan hanya metodenya sahaja yang betul dan tidak boleh menerima apa-apa nasihat, teguran, komen atau saranan pihak lain.
- Terdapat peruqyah yang memberi nasihat yang betul kepada perawat lain, namun dalam masa yang sama dia:
a. Mendedahkan `aib perawat yang dinasihatinya didepan umum, baik menerusi ucapan atau berita buruk yang ditularkan menerusi media sosial.
b. Nasihati yang diberikannya itu adalah betul, cuma cara penyampaian adalah tidak beradab dan beretika bahkan disusuli pula dengan kalimah yang tidak bertatasusila yang baik.
c. Menasihati secara baik namun nasihat yang diberikan itu bertentangan dengan konsep dan prinsip rawatan Islam yang sebenar berlandaskan ruqyah syar`iyyah.
- Merasa atau beranggapan dirinya lebih baik dan sempurna berbanding peruqyah lain baik dari segi keilmuan, ketaqwaan, tahsin bacaan dan hafalan ayat ruqyah, pengalaman dan sebagainya.
- Berlumba-lumba berebut pengaruh, membina reputasi dan populariti dalam masyarakat dan di hadapan khalayak menerusi pelbagai teknik promosi dan publisiti berkaitan aktiviti meruqyah yang dijalankannya.
- Memburuk-burukkan peruqyah lain sehingga masyarakat hilang kepercayaan dan beralih kepadanya sebagai peruqyah atau hanya mengunjungi pusat ruqyahnya sahaja dengan pelbagai dakwaan yang tidak berasas.
- Mencaci-maki, menistai atau mencerca peruqyah lain di hadapan umum yang mungkin berpunca atas sebab-sebab peribadi.
- Peruqyah ada ketikanya beremosi ketika dinasihati peruqyah lain sehingga mencetuskan perdebatan dan perselisihan tanpa didasari oleh ilmu ruqyah.
Saya berterima kasih di atas perkongsian info oleh teman-teman di GPMM berkaitan fenomena ini yang bukan sahaja berlaku di Malaysia bahkan di negara tetangga seperti Brunei, Singapura dan Indonesia. Antara beberapa nama yang sempat saya rakam di sini ialah Us Perdana Akhmad (Founder QHI, Almarhum), Us Nuruddin Al Induniss (Founder Rehab Hati Qurani), Us Muhammad Faizar (Founder Arsyada Asy Syifa), Us Adam Amrullah (Founder Komunitas Cinta Ruqyah), Us Muhammad Zunaidi dan lain-lain yang melatih puluhan ribu peruqyah di seluruh nusantara dan kesemuanya pernah menerima panahan fitnah syaitan berkaitan dunia peruqyahan.
Kesimpulannya, tulisan ini cuba memaparkan sebahagian isu yang terjadi dalam masyarakat dan bukanlah bertujuan untuk memburuk-burukan mana-mana pihak atau individu. GPMM berharap agar semua peruqyah dapat bersepakat dalam banyak perkara, mencari titik persamaan dan tidak memperbesarkan aspek perbezaan. Semoga segala amalan kita mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah swt. Hanya Allah swt yang mampu menghancurkan segala trik dan belitan iblis dan syaitan.
SEKIAN
Nukilan,
Dr Abdullah Yusof
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)
6.5.2020 Jam 4.10 pm.