Poligami: antara dua darjat

Siri 2 : Psikologi Keluarga

1. Album gambar perkahwinan dikongsi di media sosial dengan penuh rasa berbunga-bunga dan bahagia. Menjadi raja sehari yang segak dan anggun adalah detik masa yang ingin dijadikan memori yang tidak boleh di ‘delete’ dalam episod hidup pasangan yang berkahwin. Di bawah perkongsian album gambar yang dikongsi tersebut banyak ‘#’ yang disertakan antaranya;
#SetiaSelamanya
#HanyaAkuDanKamu
#BahagiaTillJannah
#AkuMilikMu

2. Ya, perkahwinan adalah suatu perkara yang besar dalam hidup seseorang kerana perkahwinan adalah satu amanah yang memberikan kesan pada kehidupan seseorang di dunia dan akhirat. Memahami tujuan perkahwinan dan juga memahami liku-liku hidup berumah tangga akan menjadikan setiap pasangan membuat persedian sebaiknya sebelum memasuki alam perkahwinan sama ada persediaan dari aspek ilmu, aspek ekonomi, aspek pembinaan peribadi diri dan sebagainya.

Orang tua kita pernah berkata, ” perkahwinan itu, tidaklah seindah yang diimpikan, dan tidaklah pula seburuk yang disangkakan”. Ini memberikan gambaran kepada semua pasangan yang berkeluarga hendaklah sentiasa berterusan dalam membina rumah tangga bagi mencapai tujuan dan objektif perkahwinan mereka. Memastikan ilmu sentiasa ditambah, tarbiyah sentiasa dihidupkan, islah sentiasa dilakukan, mencegah dari perkara mungkar dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri masing-masing adalah antara resepi bagi membina keluarga yang bahagia.

3. Pepatah melayu ada menyebut, “kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang”, “tak ada ribut, masakan daun bergoyang”, dan “kalau tiada api, masakan ada asap”. Peribahasa ini membawa maksud yang sama iaitu setiap perkara yang terjadi pasti ada sebabnya.

Secara fitrahnya tidak ada seorang isteri yang ingin berkongsi suaminya dengan wanita lain. Dan isteri tersebut jelas mempunyai sebab dan alasannya.

Cuba tanya pasangan masing-masing. Suami cuba tanya isteri, apa sebab dia tidak mahu hidup bermadu?. Isteri cuba tanya suami, perlu ke abang kahwin seorang lagi?. Ada berani ke nak tanya? Jika bertanya tu jangan sampai bergaduh pula.

4. Si suami jika anda ingin berpoligami, berpandukanlah pada Al-Quran dan Sunnah dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Kerana Iman dan Taqwa membentuk hati yang ikhlas.

Adakah anda ingin berkahwin lagi itu sebagai bukti anda ikhlas dalam mendirikan rumah tangga anda sebelum ini dengan isteri sedia ada?

Adakah anda benar jujur ingin berkahwin lagi itu kerana mengharap keredhaan Allah SWT ?

Jika ya, usah takut minta izin isteri dan berkahwinlah hanya bila isteri memberikan keizinan, ibu bapa dan bapa serta mak mertua anda memberikan keizinan.

Jika ya, berkahwinlah melalui perundangan yang betul yang mana anda dibuktikan mampu dan layak untuk berkahwin lagi.Kenapa perlu anda berkahwin tanpa pengetahuan isteri dan keluarga?

Kenapa perlu anda berkahwin diluar sempadan?

Kenapa anda mengugut ingin menceraikan isteri jika dia tidak bersetuju?

Jika anda layak, kenapa membiarkan isteri anda bekerja dan menanggung perbelanjaan keluarga?

Kenapa anda takut membawa calon isteri kedua tersebut berjumpa isteri dan ahli keluarga sebelum membuat keputusan untuk berkahwin?

Jika anda berkahwin lagi kerana ingin mendapat keredhaan Allah SWT, kenapa tidak berkahwin lagi itu melalui redha isteri , redha ibu bapa, dan redha anak-anak terlebih dahulu?

Usah membezakan darjat sama ada isteri anda atau pun calon isteri kedua anda kerana ingin memenuhi hajat berpoligami anda tersebut. Kenapa tidak mengikuti proses yang sama seperti anda berkahwin buat kali pertama dahulu?

5. Persoalan seterusnya ialah sekiranya fitrah seorang wanita tidak ingin berkongsi suami, kenapa ada wanita yang sanggup menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat?

Adakah kerana tidak ada calon bujang yang baik buat mereka?

Adakah suami orang tersebut lebih layak buat dirinya?

Apakah kriteria yang ada pada suami orang itu menjadi pilihannya?

Atau adakah kerana dia termakan pujuk rayu dan janji manis suami orang?

Atau dia adalah seorang perampas dan mata duitan?

Islam mengharuskan poligami dengan meletakkan syarat penting iaitu keadilan. Keadilan itu bermaksud melalui cara yang betul, dengan niat yang betul, dengan memenuhi syarat kelayakkan yang betul dan yang paling penting ialah dengan berpoligami menjadikan keadaan isteri-isteri dan keluarga bertambah baik dan bahagia.

Bukan dengan hanya anda berfikir anda layak, terus berkahwin dengan cara bersembunyi. Akhirnya keluarga menjadi hura-hara dan keadaan anak terabai serta kebahagiaan selama ini musnah sekelip mata.

6. Wahai para suami! bertaqwalah pada Allah. Wahai para isteri! bertaqwalah pada Allah. Wahai para wanita! bertaqwalah pada Allah. Peliharalah diri dan keluarga dari fitnah dunia dam akhir zaman. Jangan cuba cari pasal dengan fitnah akhir zaman.

Nota kaki :
1. Penulis menulis berdasarkan pengalaman kes yang diuruskan.
2. Penulis minta izin dengan isteri dulu sebelum tulis tajuk ni, takut silap faham.
3. Penulis hanya mempunyai seorang isteri sahaja.

Penulis : Mohd Zul Amirul Izwan Bin Mat Deraseh
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia