Arak ibu segala kejahatan
Arak adalah lambang segala keangkuhan, kesombongan dan kemewahan duniawi. Tanpa arak, dunia kejahatan dan penjenayahan seolah-olah terhenti berputar. Mana ada ahli gangster tidak minum arak dan menggantikannya dengan air zamzam. Mana ada ketua-ketua kongsi gelap tidak menyajikan arak dalam majlis menyambut kejayaan mereka dalam aktiviti jenayah. Tangan sebelah kiri merangkul perempuan dan sebelah kanan memegang botol arak sudah menjadi sinonim dengan pembesar dan bangsawan sekular dulu-dulu yang memegang tampuk kuasa sejak era Firaun , sebelum dan selepasnya. Aktiviti menjamu arak bukan sahaja digelojohi oleh pemuka-pemuka kemewahan duniawi bahkan telah menjalar kepada rakyat biasa termasuk gelandangan dan fakir miskin, orang gila dan orang normal-pintar. Undang-undang yang wujud sekadar mengawal namun tidak berfungsi untuk menghentikan atau membasmi samasekali industri berkaitan arak. Ia dianggap menjadi punca rezeki sebahagian pengusaha selain negara-negara tertentu dapat meraih pelbagai hasil cukai berkaitan arak, sama seperti sekutunya iaitu rokok.
Setiap yang memabukkan adalah haram. Arak (al-Khamr) adalah memabukkan. Maka arak adalah haram. Ini adalah logika Islam berdasarkan nas. Kenapa memabukkan?. Kerana ada kandungan alkohol. Kalau tiada kandungan alkohol maka bukanlah arak namanya. Anggaplah saja air sejuk atau air kosong. Namun air kosong pun jika diminum dengan anggapan ianya arak (ketika meminumnya) adalah tetap haram di sisi Islam dan ini menunjukkan betapa Islam amat membenci arak. Justeru itu apa-apa percubaan atau cadangan untuk menurunkan kadar kandungan alkohol dalam arak umpama tikus membaiki labu. Bila ada kes kemalangan disyakki berpunca pemandu mabuk maka akan tengadahlah kita seketika. Rakyat yang cintakan Islam akan semakin keliru kerana punca sebenar masih dipertahankan, akar-akar nya masih dibiarkan menjalar. Rokok, sekutu arak telah dicanangkan sebagai merbahaya kepada kesihatan dan wajib dicatat pada kotak-kotak rokok. Apa perokok ada peduli?, malah menjadi bahan sendaan dan ketawa sahaja. Mungkin kena dicatat sedemikian juga pada botol-botol arak seperti yang dikehendaki oleh para pejuang arak, asalkan arak terus boleh dikilangkan, diimport , dijual dan diminum. Inilah sebahagian lambang hipokrit dalam dunia kapitalis dan disokong oleh para leberalis dan rasionalis modern hari ini.
Dalam Islam ada banyak dalil yang mengaitkannya dengan arak (al-Khamr). Dalam fiqh Islam ada hukum harus, sunat, makruh, halal dan haram. Tiada sesuatupun baik perbuatan, percakapan atau perakuan yang terkeluar darinya. Al-Quran dan hadith serta ijmak ulamak tidak sesekali ingin menakut-nakutkan orang apatah lagi orang kafir. Apakah manusia dicipta hanya untuk ditakut-takutkan oleh Allah swt?. Islam adalah pembawa keselamatan dan rahmatan kepada manusia seluruhnya.Justeru itu marilah kita sama-sama menginsafi setiap yang berlaku dan muhasabah diri dari masa ke semasa. Tidak kiralah kita ini sebagai pemimpin atau pemerintah, orang alim atau orang jahil, orang kaya atau faqir miskin, semuanya akan dipersoal nanti. Sementara hayat masih ada, hargainya ia sebelum terlambat. Sementara kuasa masih ada, perbuatlah sesuatu demi Islam dan umatnya. Jangan biarkan generasi dan anak cucu selepas kita nanti mempersalahkan kita atas kealpaan sendiri kerana bertindak sambil lewa untuk menegakkan hukum Allah, apatah lagi jika hanya memandang sebelah mata pun tidak.Tidak perlulah kita menuding kesilapan itu pada orang lain, sebaliknya tudinglah pada diri sendiri.
Ringkasnya, keindahan Islam perlu diserlahkan dan untuk menyerlahkannya kenalah sama-sama kembali kepada Islam dan mengaplikasikannya dalam kehidupan termasuk isu ARAK ini.
Sekian. Nukilan rasa abdy@GPMM 29.5.2020 JAM 11.30 AM.
_______________________________________
LAMPIRAN (Sumber Dalil) :1. Fiqh al-Manhaji (3/75-81 yang menjelaskan kedudukan arak dalam Islam.2. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Ma`idah: 90).3. Nabi SAW bersabda: كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ
Maksudnya: “Semua yang memabukkan adalah haram.”Riwayat al-Bukhari (5263) dan Muslim (2001)4. Hadith daripada Abu Malik bin al-Asy’ari RA, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِى الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya manusia di kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain.”
Riwayat Abu Daud (3688) dan Ibn Majah (4020)5. Hadith daripada Jabir RA, Rasulullah saw bersabda: مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ
Maksudnya: “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.” Riwayat Abu Dawud (368), al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)6. Hadith daripada A`isyah R.A, katanya, sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ مَا أَسْكَرَ الْفَرَقُ مِنْهُ فَمِلْءُ الْكَفِّ مِنْهُ حَرَامٌ
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq (فرق) boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram.”
Riwayat al-Tirmizi (1867) dan Abu Dawud (2687)7. Hadith daripada Rasulullah SAW: اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.” Riwayat al-Hakim (4/145)8. Hadith daripada Uthman RA secara mauquf: اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِثِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.” Riwayat al-Nasa`ie (8/315)9. Hukuman Had bagi Peminum Arak adalah dengan sebatan 40 kali, namun pemerintah harus menjalankan hukuman tersebut hingga 80 kali sebatan sebagai tambahan dengan hukum ta’zir (تعزير). Ini berdasarkan hadith daripada Anas RA:
كَانَ يَضْرِبُ فِى الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ أَرْبَعِينَ
Maksudnya: “Nabi SAW menyebat peminum arak sebanyak 40 kali sebatan dengan pelepah tamar dan selipar.” Riwayat Muslim (1706)10. Hadith yang lain, daripada Anas RA:
أَنَّ نَبِىَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَلَدَ فِى الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ ثُمَّ جَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ. فَلَمَّا كَانَ عُمَرُ وَدَنَا النَّاسُ مِنَ الرِّيفِ وَالْقُرَى قَالَ: مَا تَرَوْنَ فِى جَلْدِ الْخَمْرِ؟ فَقَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ: أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا كَأَخَفِّ الْحُدُودِ. قَالَ: فَجَلَدَ عُمَرُ ثَمَانِين
Maksudnya: “Nabi SAW menyebat peminum arak dengan pelepah tamar dan selipar sebanyak 40 kali. Abu Bakar juga pernah menyebat 40 kali. Pada zaman Umar RA, ramai orang dari pedalaman dan kampung datang ke Madinah, lalu Umar bertanya kepada para sahabat, katanya: “Apakah pendapat kamu tentang hukuman sebat atas peminum arak?” Jawab Abdul Rahman bin ‘Auf: “Aku fikir, kamu menjalankan hukum hudud yang paling ringan.” Abdul Rahman berkata: “Selepas itu, Umar RA menghukum 80 kali sebatan.” Riwayat Muslim (4551)
Tindakan Umar tersebut menunjukkan bahawa sebatan yang melebihi 40 kali adalah ta’zir dan bukan hudud.11. Hadith daripada Uthman RA:
فَاجْلِدْهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ جَعْفَرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا. وَعَلِىٌّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَعُدُّ حَتَّى بَلَغَ أَرْبَعِينَ فَقَالَ أَمْسِكْ. ثُمَّ قَالَ جَلَدَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعِينَ وَجَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ وَعُمَرُ ثَمَانِينَ وَكُلٌّ سُنَّةٌ وَهَذَا أَحَبُّ إِلَى
Maksudnya: “Uthman RA memerintahkan al-Walid bin Uqbah bin Abu Muait disebat, lalu dilakukan oleh Abdullah bin Ja’far RA, manakala Ali RA pula mengiranya. Apabila sampai 40 kali sebatan, Ali memberitahu Abdullah supaya berhenti, seraya berkata: “Nabi SAW menyebat 40 kali, begitu juga Abu Bakar, akan tetapi, Umar RA menyebat 80 kali. Semuanya adalah sunnah. Namun, hukuman ini yang lebih aku suka.” Riwayat Muslim (1707)
Maksud Ali ialah hukuman 40 kali sebatan sudah memadai kerana kadar itulah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Kadar ini lebih selamat dalam pelaksanaan hukum daripada menambahnya yang ditakuti berlaku zalim. Ulama’ fiqh menyatakan bahawa hukuman 40 kali sebatan daripada Rasulullah SAW ialah hukuman asas. Adapun tindakan Umar RA menyebat 80 kali, Ali menjelaskannya seperti berikut:
نَرَى أَنْ تَجْلِدَهُ ثَمَانِينَ فَإِنَّهُ إِذَا شَرِبَ سَكِرَ وَإِذَا سَكِرَ هَذَى وَإِذَا هَذَى افْتَرَى
Maksudnya: “Kami berpendapat, engkau menghukum 80 kali sebatan adalah kerana apabila seseorang minum arak dia mabuk, ketika mabuk dia merepek, seterusnya berbohong.” Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (1541)
Hukuman berbohong menuduh orang lain berzina ialah 80 kali sebatan. Justeru, hukuman minum arak yang melebihi 40 kali sebatan, sebagaimana yang dilaksanakan oleh Umar RA adalah sebagai ta’zir. Menurut Mazhab al-Syafie, hukuman yang lebih baik setakat 40 kali sebatan sahaja kerana itulah yang datang daripada Rasulullah SAW.
Ditegah melaksanakan hukuman sebat ketika peminum arak sedang mabuk. Hal ini adalah kerana hukuman yang dijalankan ketika itu tidak mencapai tujuan pencegahan. Oleh itu, pelaksanaannya hendaklah ditangguhkan sehingga dia pulih supaya terhasil pencegahan mengambil arak semula.
Terima Kasih,
Dr Abdullah Yusof (abdy@gpmm)
Pensyarah Perubatan Islam UM
Exco GPMM
Bendahari Kehormat PTPM (Persatuan Terapi Psikospritual Malaysia.